Khamis, 10 Oktober 2019 | 1:31pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Aizuddin Saad

KBS rangka pelbagai program e-sports

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merangka pelbagai program pembangunan bagi sukan elektronik (e-sports) di semua negeri termasuk Sarawak membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pusat latihan di negeri akan diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan program sukan itu dapat diseragamkan di peringkat akar umbi.

"Bagi keperluan penubuhan pusat latihan ini, satu kolaborasi (kerjasama) khusus perlu dilakukan kerana ia membabitkan pelbagai prosedur daripada beberapa agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Pada masa sama, kementerian akan menganjurkan Liga Sukan Elektronik Kebangsaan tahun depan sebagai langkah awal pelaksanaan program pembangunan sukan itu," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan lebih memberi tumpuan kepada program pendedahan dan peluang kepada peminat sukan berkenaan selain merancang bengkel e-sports meliputi dua elemen iaitu kerjaya dan sukan sihat.

Kerajaan Johor menyenaraikan sukan elektronik sebagai sebahagian daripada satu sukan yang dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020. Ini adalah pengiktirafan serta peluang untuk memajukan lagi sukan ini di peringkat negeri.

Berita Harian X