Khamis, 10 Oktober 2019 | 1:43pm
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

WKB2030: Kerajaan ambil kira pandangan Sabah, Sarawak wujud industri baharu

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil kira pandangan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi menjayakan matlamat mewujudkan industri baharu di negeri itu di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pandangan kerajaan negeri penting dalam menjayakan dasar baharu itu kerana mereka lebih mengetahui keutamaan industri yang perlu dibangunkan, selain sektor sedia ada yang akan terus diberikan tumpuan.

"Kerajaan negeri lebih arif mengenai keutamaan industri yang boleh dikenal pasti bagi meningkatkan kuasa ekonomi rakyat.

"Dalam merencana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan turut mengadakan libat urus dengan semua kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti industri baharu yang boleh dilaksanakan dan sebahagian pelaksanaan WKB2030 ini juga boleh dimasukkan bersama," katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Vivian Wong (PH-Sandakan) mengenai bagaimana kerajaan akan merapatkan jurang di Sabah dan Sarawak di bawah WKB2030 dengan mewujudkan industri baharu kerana berdasarkan aktiviti pertumbuhan ekonomi utama, tiada pertambahan industri baharu di negeri itu.

Menjawab soalan asal Vivian mengenai perbezaan antara WKB2030 dengan pelan kerajaan sebelum ini di mana ia dipercayai dapat merapatkan jurang antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang gagal dilaksanakan kerajaan terdahulu, Azmin berkata, dasar itu akan mengambil langkah holistik dan meningkatkan sumbangan peratusan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) negeri itu kepada KDNK negara.

"Sabah menyumbang 6.2 peratus manakala Sarawak 9.7 peratus kepada KDNK negara, berbanding Wilayah Tengah Semenanjung sebanyak 40 peratus.

"Antara langkah yang akan diambil adalah dengan mengadakan pemetaan titik panas tumpuan ekonomi yang berpotensi untuk dibangunkan supaya pembangunan ekonomi tidak berpusat di wilayah tertentu saja," katanya.

Dari segi modal insan, dasar WKB2030 akan mengangkat hak anak negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak dengan mengambil kira perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Selain itu, akses kepada kemudahan jalan raya, infrastruktur asas, kesihatan dan pendidikan berkualiti terutama masyarakat pedalaman akan turut diberikan keutamaan.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad [email protected] (PAS-Kuala Terengganu) adakah WKB2030 akan meneruskan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Azmin berkata, walaupun tumpuan diberikan kepada kesaksamaan keberhasilan, kumpulan sasar tertentu akan terus diberikan tumpuan.

"Sudah tentu dalam wawasan ekonomi sebelum ini, beberapa pertumbuhan dapat disaksikan tetapi pertumbuhan ekonomi antara wilayah antara perkara yang perlu diberi perhatian (di bawah WKB2030)," katanya.

Berita Harian X