Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:07pm
Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee. - NSTP/Danial Saad

SME tidak letak harapan tinggi Belanjawan 2020

GEORGETOWN: SME Corporation Malaysia (SME Corp) menjangka tiada pertambahan peruntukan kepada agensi itu pada Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan esok.

Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee, berkata pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi susulan situasi ekonomi dunia tidak menentu kini.

“Jika lihat pada belanjawan tahun lalu, kita dapat RM2 bilion daripada kerajaan, tetapi saya melihat kepada situasi ekonomi dunia sekarang, banyak negara maju hanya memperoleh perkembangan ekonomi sekadar satu hingga dua peratus saja dan sudah tentu ia akan memberi kesan kepada negara kita.

“Jadi, saya jangka tiada pertambahan belanjawan untuk kami, namun saya berharap jumlahnya tidak dikurangkan berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Syed Hussien menghadiri Kongres SME Malaysia 2019 di Bayan Baru, di sini.

Syed Hussien berkata, SME Corp kini giat memberi latihan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendepani gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Katanya, SME Corp menjangka perkhidmatan pembelian secara dalam talian atau e-commerce akan mendominasi pasaran bagi semua jenis jualan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Di SME, kita juga tidak boleh ketinggalan untuk menghadapi IR 4.0. Justeru, kita mengadakan latihan di peringkat nasional dengan membabitkan semua pengusaha PKS supaya mereka terus mahir dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.

Sementara itu, Syed Hussien ketika berucap, turut memuji langkah kerajaan memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKM) 2021-2030.

Inisiatif itu, katanya, akan memberi fokus untuk merapatkan jurang pendapatan, selain memastikan pembangunan dan kekayaan dapat diagih dengan lebih adil kepada rakyat.

“WKB adalah pelan yang akan membawa negara ke arah lebih baik dalam dekad akan datang, menerusi agihan kekayaan lebih adil, sekali gus dapat menstabilkan ekonomi negara,” katanya.

Berita Harian X