Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:21pm

Tindakan tegas jika pemandu e-hailing tak lengkap syarat, peraturan

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu e-hailing yang tidak melengkapkan syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan, sebaik penguatkuasaan mula dilaksanakan Sabtu ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Khairul Anuar Bachok, berkata pihaknya tidak berkompromi dengan pemandu terbabit kerana sebelum ini sudah banyak masa diberikan untuk mereka melengkapkan syarat berkenaan.

“Sudah banyak masa diberikan, kenapa saat akhir baru nak buat (melengkapkan syarat dan peraturan e-hailing).

“Saya bekerja secara senyap dan akan mengambil tindakan terhadap pemandu tidak mengikuti syarat ditetapkan.

“Kita tidak akan buat (operasi) secara besar-besaran, namun tiada alasan diterima daripada pemandu berkenaan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairul Anuar berkata, JPJ menyita 12 kenderaan pekerja ketika pelaksanaan Ops Kesan di sekitar Putrajaya.

“Ops Kesan ini untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan pengangkutan awam khususnya bas pekerja yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Kebanyakan mereka yang ditahan tidak mempunyai lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran serta tiada lesen pengendali.

“JPJ memandang serius perkara ini dan akan terus giat melaksanakan operasi dari semasa ke semasa. Selain itu, JPJ akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan secara mampan,” katanya.

Khairul Anwar (dua dari kiri) dan ketua Penolong Pengarah Kanan Operasi JPJ, Adnan Md Isa (kiri) menunjukkan sebuah bas pekerja yang disita kesalahan seperti tidak mempunyai tulisan bas pekerja dan tidak mempunyai cukai jalan selepas sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X