Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:25pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Rosela Ismail

RUU mansuh hukuman mati dibentang Mac tahun depan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata laporan berhubung RUU itu bagaimanapun masih di peringkat kajian sebelum diserahkan kepada Jemaah Menteri.

"Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang ditubuhkan 20 Ogos lalu mengkaji dan menjalankan kajian komprehensif mengenai dasar hukuman secara keseluruhan, hukuman gantian untuk hukuman mati dan kesesuaian budi bicara mahkamah.

"Jawatankuasa ini juga akan mengemukakan syor untuk penalti yang bersesuaian dan setimpal dengan kesalahan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vui Keong menjelaskan, jawatankuasa itu akan menjalankan semakan undang-undang secara holistik dan bebas serta mengambil kira pandangan teori dan praktikal kumpulan pakar.

Jawatankuasa juga berperanan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan untuk mendengar pandangan mereka.

"Dapatan dan laporan jawatankuasa khas ini akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemantauan yang kemudiannya akan diserahkan kepada Jemaah Menteri.

"Kajian ini dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan menjelang akhir tahun ini dengan mesyuarat pertama jawatankuasa khas ini diadakan pada 20 September lalu," katanya.

Berita Harian X