Khamis, 10 Oktober 2019 | 6:38pm
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya sentiasa bertindak secara konsisten terhadap mana-mana kumpulan pengganas tanpa mengambil kira latar belakang mereka. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Jangan jadikan tangkapan LTTE isu perkauman

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran supaya tiada pihak mengeksploitasi tangkapan terhadap suspek disyaki terbabit kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan menjadikannya isu perkauman.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya sentiasa bertindak secara konsisten terhadap mana-mana kumpulan pengganas tanpa mengambil kira latar belakang mereka.

Seramai 284 suspek terbabit Jemaah Islamiyah (JI), 512 suspek Daesh dan 25 ahli LTTE sudah ditahan sejak tahun 2009.

“Tiada isu pilih kasih atau perkauman timbul kerana sebarang usaha dilihat boleh menggugat keselamatan negara, kami akan mengambil tindakan.

“Kenapa tiada pihak yang persoal apabila kita mengambil tindakan terhadap Daesh atau Sikh For Justice (SFJ), namun apabila kita tangkap LTTE dari satu kaum ia jadi isu perkauman,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Ayub turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak mempromosikan kumpulan pengganas itu di negara ini sedangkan mereka sudah kalah di Sri Lanka.

“Apa perlunya nak aktifkan semula LTTE? Adakah mahu perjuangkan wilayah di Malaysia? Ada banyak lagi negara yang menyenaraikan mereka sebagai pengganas.

“Polis akan terus memantau pergerakan kumpulan ini di Malaysia bagi memastikan ia tidak berkembang, malah tangkapan susulan akan dijalankan,” katanya.

Berita Harian X