Khamis, 10 Oktober 2019 | 10:18pm
PENGARAH Komunikasi Parti Amanah Nasional (AMANAH) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim. - Foto Muhaizan Yahya

Perjuangan rakyat Palestin jauh berbeza dengan LTTE

IPOH: Pandangan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mengatakan tindakan kumpulan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) mempunyai persamaan dengan pejuang Palestin adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.

Situasi yang berlaku di Palestin adalah berbeza dengan Sri Lanka yang membabitkan pemberontakan.

Di Palestin, rakyatnya memperjuangkan hak dan kedaulatan tanak air mereka yang dirampas oleh Israel dan bertindak mempertahankan diri daripada serangan ketenteraan rejim Zionis.

Malahan, wilayah Gaza yang dimiliki Palestin turut menjadi sasaran oleh Israel dan serangan ketenteraan turut dilakukan kepada warga Palestin di sana.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Nasional (AMANAH) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata berbeza dengan keadaan di Sri Lanka, kerana LTTE melakukan aktiviti pemberontakan dan meminta wilayah autonomi kerana tidak bersetuju dengan dasar pemerintah Sri Lanka.

Hasnul Zulkarnain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, menegaskan LTTE turut disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak Februari 2014.

“Adalah lebih tepat sekiranya Charles menyamakan kumpulan LTTE dengan kumpulan Daesh atau ISIS yang turut disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di negara ini.

“Sekiranya beliau yakin dengan dakwaannya bahawa kumpulan ini (LTTE) tidak lagi wujud, maka tidak ada sebab untuk beliau bimbang mereka yang ditahan ini bersalah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Hasnul Zulkarnain berkata, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga memberi jaminan kepada semua suspek untuk dibenarkan melantik peguam dan dibicarakan mengikut proses perundangan.

Justeru, beliau berpendapat adalah lebih baik sekiranya Charles menyerahkan kes itu kepada polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada mereka yang ditahan bersalah atau sebaliknya.

Berita Harian X