Jumaat, 11 Oktober 2019 | 6:20pm

Kerajaan akan perkenal geran pembangunan ekosistem 5G bernilai RM50 Juta

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta sebagai pendanaan peringkat awal bagi menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat Malaysia untuk menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia.

Selain itu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta untuk menyediakan dana geran padanan secara bidaan.

Beliau berkata, dana itu bertujuan menggalakkan lebih banyak projek rintis aplikasi digital bagi dron penghantar, kenderaan pandu sendiri, teknologi ‘blockchain’ serta produk dan perkhidmatan lain yang memanfaatkan pelaburan dalam infrastruktur gentian optik dan 5G.

Kerajaan juga akan menyediakan RM20 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital khususnya bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-Permainan, animasi dan seni digital, katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan 50 peratus geran padanan dengan jumlah nilai sehingga RM5,000 bagi satu syarikat untuk mereka melanggan perkhidmatan digital.

Ia bertujuan menggalakkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menerima pakai langkah pendigitalan untuk operasi syarikat, katanya.

“Geran padanan ini berjumlah RM500 juta untuk tempoh selama lima tahun, dan dihadkan kepada 100,000 PKS pertama yang memohon untuk menaik taraf sistem mereka,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X