Jumaat, 11 Oktober 2019 | 6:38pm
Pengusaha perahu tambang, Ali Bujang, 59, tidak melepaskan peluang menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng melalui telefon bimbit ketika tinjauan di Kuching. - NSTP/L Manimaran
Pengusaha perahu tambang, Ali Bujang, 59, tidak melepaskan peluang menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng melalui telefon bimbit ketika tinjauan di Kuching. - NSTP/L Manimaran

Belanjawan 2020 pacu ekonomi negara, hasil dikecapi semua rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan membentangkan Belanjawan 2020 dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara supaya hasil negara dapat dikecapi oleh semua rakyat tanpa menjejaskan usaha memulihkan keadaan fiskal negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini, berkata ia adalah belanjawan yang berorientasikan pertumbuhan, dengan langkah terancang yang dirangka bagi mengoptimumkan impak ke atas pertumbuhan ekonomi, penjanaan peluang pekerjaan dan perubahan struktur.

Ia akan dilaksanakan tanpa menjejaskan komitmen kerajaan untuk memulihkan keadaan fiskal dalam jangka sederhana walaupun kerajaan sekarang mewarisi bebanan hutang dan liabiliti melebihi RM1.1 trilion peninggalan kerajaan terdahulu, untuk melaksanakan konsolidasi fiskal secara berperingkat.

“Intervensi kerajaan melalui dasar tertentu amat diperlukan untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, mengutamakan pelaburan dalam sektor strategik, menyemarakkan semula industri berasaskan eksport dan menggalakkan keusahawanan,” katanya ketika membentangkan belanjawan tahunan kedua kerajaan Pakatan Harapan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Belanjawan 2020 memperuntukkan sejumlah RM297 bilion meliputi RM241 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan tahun hadapan itu yang bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke arah Kemakmuran Bersama” merupakan peningkatan RM19.5 bilion berbanding peruntukan belanjawan tahun ini sebanyak RM277.5 bilion, tanpa mengambil kira peruntukan secara one-off bagi bayaran balik GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan cukai pendapatan terrtunggak.

Guan Eng berkata hasil kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada tahun 2020, peningkatan RM11.2 bilion berbanding 2019, tanpa mengambil kira dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion.

Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang 4.7 peratus pada tahun ini dan meningkat 4.8 peratus pada tahun hadapan.

Kadar inflasi dijangka terus terkawal pada dua peratus bagi 2020.

Belanjawan tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi baharu dan era digital; pelaburan ke atas rakyat bagi meningkatkan keupayaan modal insan; mewujudkan masyarakat bersatu, inklusif dan saksama; serta memulihkan institusi dan kewangan awam.

Usaha menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama destinasi pelaburan, meningkatkan daya saing termasuk memudahkan urusan menjalankan perniagaan serta mempercepatkan ekonomi digital merupakan antara usaha kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara tahun hadapan.

Mempercepatkan ekonomi digital itu akan mengambil kira pembinaan infrastruktur digital, membina aplikasi digital dan melahirkan masyarakat digital dengan transformasi itu, antara lain, akan menyaksikan peningkatan penggunaan e-Dompet oleh masyarakat dan peniaga.

Bimbang dengan peningkatan lebih 500,000 rakyat Malaysia menganggur, termasuk 140,000 graduan pada 2018, kerajaan akan meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Secara keseluruhannya terdapat 2.2 juta pekerja asing tahun lepas iaitu 15 peratus daripada 15 juta tenaga buruh di Malaysia.

“Kerajaan menjangkakan program #MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun. Program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada 130,000 orang pekerja asing,” kata Guan Eng.

Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, dan dalam belanjawan ini mencadangkan gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama tahun depan, berbanding RM1,100 sekarang.

Berita Harian X