Jumaat, 11 Oktober 2019 | 6:43pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kerajaan memperuntukkan RM297 bilion untuk perbelanjaan 2020

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM297 bilion perbelanjaan di bawah Belanjawan 2020 – peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion diperuntukkan pada tahun lalu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Jumlah itu tidak termasuk simpanan luar jangka RM2 bilion.

“Belanjawan 2020 merangkumi RM241 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala bakinya RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan ‘’Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’’ di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng berkata hasil kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada tahun depan iaitu peningkatan sebanyak RM11.2 bilion berbanding tahun 2019, tanpa mengambil kira dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion.

Katanya, kerajaan akan melupuskan aset yang telahpun diluluskan sebelum ini tetapi menerusi tender terbuka dan bukan rundingan terus.

Langkah ini dijangka akan menjana hasil kepada negara melebihi RM3 bilion pada tahun 2020, katanya.

Guan Eng berkata Belanjawan 2020 adalah berpaksikan pertumbuhan, dengan langkah-langkah khusus untuk mengoptimumkan kesan pertumbuhan ekonomi, pewujudan kerja dan perubahan struktur, tanpa menjejaskan komitmen kerajaan untuk memulihkan kekukuhan fiskal kerajaan untuk jangka sederhana.

Beliau berkata ekonomi Malaysia akan kekal berdaya maju di masa depan hasil daripada langkah-langkah belanjawan, dan menurutnya Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka berkembang sebanyak 4.7 peratus tahun ini dan meningkat kepada 4.8 peratus pada 2020.

Inflasi dijangka kekal pada kadar 2.0 peratus pada 2020, kata Guan Eng.

“Sekiranya persekitaran luar kekal tidak memberangsangkan, kerajaan bersedia menimbang untuk mengambil langkah-langkah kontigensi yang diperlukan bagi menyokong atau memangkin semula pertumbuhan ekonomi negara,’’ katanya. – BERNAMA

Berita Harian X