Jumaat, 11 Oktober 2019 | 8:09pm
Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) menerima peruntukan RM50 juta bagi mengatasi isu kematian dan penganiayaan tahanan dalam lokap. - Foto hiasan

Peruntukan RM50 juta atasi kematian, penganiayaan tahanan lokap

KUALA LUMPUR: Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) menerima peruntukan RM50 juta bagi mengatasi isu kematian dan penganiayaan tahanan dalam lokap.

Peruntukkan itu bagi menambah baik prosedur dan kemudahan tahanan, khususnya pemasangan 11,500 kamera litar tertutup (CCTV) di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen.

Selain itu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, peruntukkan RM10 juta akan disalurkan bagi mengukuhkan Unit Integriti yang diwujudkan di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Peruntukkan ini akan dilaksanakan bagi menjalankan Ujian Penilaian Risiko di kementerian, jabatan dan agensi terbabit,” katanya.

Belanjawan 2020 itu turut menyebut, seramai 100 kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditambah pada tahun hadapan, untuk meningkatkan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Pembaharuan melalui penggubalan undang-undang dan penubuhan institusi juga menjadi fokus dalam usaha meningkatkan urus tadbir perkhidmatan kerajaan, dengan dua badan bakal berkaitan integriti akan ditubuhkan.

“Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi meningkatkan keyakinan orang awam terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ombudsman Malaysia pula bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam untuk meningkatkan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Turut disebut dalam pembentangan itu, 78 peratus inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) akan dilaksanakan kerajaan tidak lama lagi.

“Pada 29 Januari 2019, kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan sehingga kini, 115 inisiatif diperkenalkan.

Daripada jumlah itu, 15 peratus berjaya dilaksanakan, manakala 78 peratus lagi dalam pelaksanaan, antaranya pengisytiharan harta oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri serta Ahli Parlimen,” katanya.

Berita Harian X