Jumaat, 11 Oktober 2019 | 8:28pm

RM50 juta atasi isu kematian, penganiayaan tahanan lokap

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bagi menangani isu kematian dan penganiayaan tahanan lokap.

Ia bagi menambah baik prosedur dan kemudahan tahanan, termasuk pemasangan 11,500 kamera litar tertutup (CCTV) di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata peruntukan RM10 juta akan disalurkan bagi memperkukuhkan Unit Integriti yang diwujudkan di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Ia akan disalurkan bagi tujuan menjalankan Ujian Penilaian Risiko di kementerian, jabatan dan agensi terbabit,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020 juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menerima tambahan 100 kakitangan tahun depan bagi meningkatkan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan seiring dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Pembaharuan melalui penggubalan undang-undang dan penubuhan institusi juga menjadi fokus dalam usaha meningkatkan urus tadbir perkhidmatan kerajaan, dengan dua badan bakal berkaitan integriti akan ditubuhkan.

“Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi meningkatkan keyakinan orang awam terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ombudsman Malaysia pula bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam untuk meningkatkan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan mensasarkan pelaksanaan 78 peratus inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) tidak lama lagi.

“NACP dilancarkan pada 29 Januari 2019 dan sehingga kini, 115 inisiatif diperkenalkan. Daripada jumlah itu, 15 peratus berjaya dilaksanakan, manakala 78 peratus lagi masih dalam pelaksanaan.

“Antaranya, pengisytiharan harta oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri serta Ahli Parlimen,” katanya.

Berita Harian X