Jumaat, 11 Oktober 2019 | 8:54pm

Sabah, Sarawak kekal terima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak kekal sebagai dua negeri yang menerima perbelanjaan pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion dalam Belanjawan 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengakui peruntukan besar itu membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengutamakan keperluan penduduk kedua-dua negeri.

Di samping itu, pada tahun 2018, Sabah dan Sarawak adalah penerima tertinggi Pemberian Kerajaan Persekutuan masing-masing sebanyak RM1.14 bilion dan RM1.3 bilion.

Bagi memastikan pembangunan infrastruktur yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sabah dan Sarawak, kerajaan komited untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Proses rasionalisasi kos projek berkenaan setakat ini menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion dengan mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion.

Penjimatan ini membolehkan perancangan kerajaan untuk projek lain bagi memacu pertumbuhan ekonomi di Sabah dan Sarawak seperti Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang 165 kilometer (km) yang menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Kalimantan Timur, Indonesia.

Antara fasa komponen penting projek ini adalah pakej bernilai RM600 juta untuk 40km Jalan Kalabakan-Serudong di Tawau dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan kuarters perumahan kerajaan.

Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutama di Sabah dan Sarawak.

Untuk tahun depan, kira-kira RM587 juta akan diperuntukkan untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar, dengan RM470 juta untuk Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih.

Kerajaan juga akan membelanjakan RM500 juta untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar dengan majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak.

Satu lagi keutamaan pembangunan ialah jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion di seluruh Malaysia di mana tumpuan diberikan untuk membina jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Projek-projek di Sabah sebanyak RM326 juta dan Sarawak sebanyak RM224 juta akan memberi faedah kepada 145,000 penduduk.

PENIAGA menonton siaran langsung Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi televisyen di Parlimen, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
PENIAGA menonton siaran langsung Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi televisyen di Parlimen, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X