Sabtu, 12 Oktober 2019 | 12:14pm

Universiti bertanggungjawab membina graduan beretika, ada integriti

KUALA LUMPUR: Universiti perlu memberi perhatian serius terhadap laporan perlakuan kepincangan khususnya rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah akibat perbuatan golongan berkelulusan tinggi yang menyandang jawatan penting dalam organisasi, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, perkara itu penting kerana dalam memenuhi peranan sebagai institusi pendidikan, universiti belum menyempurnakan sepenuhnya tanggungjawab dengan hanya menghasilkan bilangan graduan yang ramai, sebaliknya perlu membina etika, moral, integriti dan akauntabiliti golongan itu.

“Imej universiti bukan hanya diwarnakan dengan tahap pencapaian kerjaya graduan, tetapi institusi itu juga boleh menerima tempias negatif jika ramai daripada graduan yang dihasilkan menghadapi dakwaan di mahkamah atau merengkuk di dalam penjara akibat jenayah rasuah.

“Justeru, universiti sewajibnya memberi perhatian serius terhadap laporan berlakunya pelbagai kepincangan di pelbagai organisasi akibat perbuatan individu ataupun kelompok terpelajar dan berkelulusan tinggi, melakukan perbuatan pecah amanah, rasuah, penipuan dan menyalahgunakan kuasa.

“Ini kerana terbukti dalam sejarah, kerendahan akhlak dan ketiadaan integriti menjadi punca keruntuhan tamadun manusia serta kemusnahan bangsa dan negara,” titah baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) pada Istiadat Konvokesyen UM Ke-59 di Dewan Tunku Canselor di sini, pagi ini.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 6,562 graduan menerima ijazah masing-masing dengan 477 daripada mereka membabitkan ijazah kedoktoran, ijazah sarjana (2,026), ijazah sarjana muda (2,965), diploma (803) dan diploma dan diploma lanjutan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) (291).

Dalam istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat (Doktor Undang-Undang) kepada bekas Naib Canselor UM, Tan Sri Dr Rafiah Salim dan tiga penerima gelaran Profesor Emeritus iaitu Prof Dr Phang Siew Moi, Prof Dr Mohd Ali Hashim dan Datuk Prof Dr Tan Chong Tin.

Pada masa sama, Sultan Nazrin turut memetik perangkaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), dari 2014 hingga Jun lalu, seramai 4,860 individu ditahan kerana rasuah dengan 2,594 daripada mereka (53.4 peratus) adalah orang muda berusia di bawah 40 tahun.

Kajian suruhanjaya itu terhadap 1,000 penuntut juga mendapati 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah.

Titah baginda hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2002 juga mendapati 30.5 peratus daripada penuntut yang menjadi responden menyatakan kesanggupan menerima rasuah, sekali gus membayangkan nilai integriti dalam kalangan anak muda semakin terhakis.

“Malah tinjauan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah pada 2017 mendedahkan satu daripada tiga pelajar universiti tempatan berpendapat menerima habuan sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan bukan dianggap rasuah, manakala 28.1 peratus responden berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi mereka untuk mengambil barangan milik syarikat untuk kegunaan peribadi.

“Dapatan kajian UKM serta hasil tinjauan IIM ada hubung kait dengan data tangkapan SPRM atas asas graduan yang dihasilkan 17 tahun yang lalu, kini berada dalam kumpulan usia 38 ke 40 tahun,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, ijazah adalah pakaian luaran yang memberikan identifikasi tahap dan bidang penguasaan ilmu seseorang graduan, namun faktor lebih penting ialah kejayaan menyemai nilai murni dalam roh mereka supaya mampu kekal dengan etika, moral, integriti dan akauntabiliti ketika menghadapi cabaran hidup kelak.

Titah baginda ini kerana menyerahkan amanah kepada insan yang tidak memiliki sifat amanah dan tidak menghargai nilai amanah seolah-olah menyamai perbuatan menyerahkan sekandang biri-biri untuk dijaga oleh seekor atau sekumpulan serigala.

“Graduan akan berhadapan ujian dan cabaran sebenar memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan dan nilai yang dipegang akan berperanan sebagai kompas moral dipegang akan berperanan sebagai kompas moral memandu saudara saudari menjadi aset atau liabiliti kepada negara, " titah baginda.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pada Istiadat Konvokesyen UM Ke-59 di Dewan Tunku Canselor di sini, pagi ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X