Ahad, 13 Oktober 2019 | 3:59pm
Adly pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-81 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, di Balai Istiadat, Seri Negeri, Melaka. - NSTP/Rasul Azli Samad

ADUN Melaka ditahan mengikut SOSMA masih EXCO - KM

AYER KEROH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang ditahan kerana dipercayai terbabit kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), tidak digugurkan daripada jawatan EXCO sedang disandangnya.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata ia berikutan ADUN terbabit ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Khamis lalu, untuk membantu siasatan dan belum disabitkan dengan sebarang pelanggaran undang-undang negara, setakat ini.

Justeru dalam tempoh proses itu, beliau berkata, jawatan EXCO terbabit dipangku sementara waktu pada peringkat pentadbiran oleh Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew yang juga EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka.

“Tiada sebab (ADUN terbabit digugurkan daripada jawatan EXCO) kerana masih dalam tempoh siasatan. Terserah kepada pihak berkuasa untuk melakukan pendakwaan dan jika tiada kes, dia boleh dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, hari ini, ketika diminta mengulas desakan beberapa pihak terhadap kerajaan negeri supaya bertindak tegas menggugurkan ADUN itu daripada jawatan EXCO.

Terdahulu, Adly menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-81 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini.

Ditanya mengenai penahanan dua lagi individu di Melaka, iaitu Ahli Majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri, semalam, mengikut akta sama kerana dipercayai ada kaitan dengan LTTE pula, Adly berkata, status jawatan mereka akan ditentukan mengikut ketetapan peraturan.

“Bagi CEO yang ditahan itu, kita ada peraturan pada peringkat perjawatan. Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan mengambil tanggungjawab untuk menentukan perkara itu mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu tangkapan ADUN DAP negeri ini yang dikaitkan dengan LTTE, perlu dilihat dalam konteks sewajarnya.

“Simpati terhadap pembunuhan masyarakat Tamil di Sri Lanka dan menyokong keganasan adalah dua pemahaman berbeza,” katanya.

Polis hari ini turut mendedahkan wujud transaksi kewangan dalam jumlah besar dipercayai untuk menggerakkan LTTE di Malaysia.

Transaksi itu dikesan susulan penahanan 12 individu disyaki ada kaitan dengan kumpulan terbabit dalam operasi khas Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak Khamis lalu.

Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata pihaknya juga menemui bahan berkaitan LTTE seperti bendera, buku dan poster gambar pemimpin ketika melakukan penggeledahan ke atas individu yang ditahan.

Berita Harian X