Isnin, 14 Oktober 2019 | 1:43pm
Guan Eng berkata, tindakan undang-undang termasuk membawa pihak berkenaan ke muka pengadilan dan memberi peluang mereka yang ditahan membela diri perlu dilaksanakan segera.

Segerakan siasatan - Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR: Polis perlu menyegerakan siasatan berhubung penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan gerakan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

DAP yang terkait secara langsung susulan penahanan dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) daripada parti itu minggu lalu, menuntut penyelesaian tuntas dan telus supaya kemelut itu segera terlerai.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata tindakan undang-undang termasuk membawa pihak berkenaan ke muka pengadilan dan memberi peluang mereka yang ditahan membela diri perlu dilaksanakan segera.

“Kita harap polis boleh memberi tumpuan kepada kerja siasatan daripada mengadakan sidang media dengan mengulas kenyataan saya yang belum dibaca.

“Tumpukan siasatan supaya perkara ini cepat selesai dan dibawa ke muka pengadilan... biar mahkamah putuskan bukti (yang dikemukakan),” katanya pada kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mahu semua pihak berhenti membuat kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan persepsi masyarakat.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan mendakwa, ada pihak sengaja memutar belit kenyataan asalnya berkaitan penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP minggu lalu.

Mengulas penahanan beberapa ahli DAP yang dikaitkan dengan LTTE baru-baru ini, beliau turut mendakwa kenyataannya sebelum ini disalah tafsir.

“Saya harap pegawai seperti Datuk Ayob tumpukan kepada siasatan. Kalau buat komen ke atas kenyataan menteri yang tidak berkaitan dan bukan apa yang saya nyatakan, saya tahu ada pihak cuba putar belit kenyataan saya itu.

“Sama juga di surat khabar Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Kita buatlah berdasarkan fakta.

“Bagi pihak polis, saya rasa mereka perlu berdasarkan fakta supaya siasatan boleh cepat habis dan perkara ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Guan Eng berkata, kenyataan asalnya merujuk kepada tiada lagi wakil rakyat lain akan ditahan selepas dua ADUN berkenaan.

“Kenyataan saya betul iaitu wakil rakyat dan sekiranya tidak, maknanya saya diberikan penerangan berlainan. Itulah kenyataan saya.

“Sebagai pemimpin, saya bertanggungjawab dengan apa yang saya katakan,” katanya.

Sabtu lalu, polis memaklumkan dua lagi individu yang juga ahli DAP di Melaka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), selepas dikaitkan dengan kumpulan LTTE.

Pengerusi DAP negeri itu, Datuk Tey Kok Kiew, mengesahkan kedua-dua individu itu ialah Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.

Berita Harian X