Selasa, 15 Oktober 2019 | 12:37pm
PIHAK Universiti Malaya (UM) mengecam tindakan seorang graduan yang tidak menghormati konvokesyen dan mengganggu perjalanan protokol istiadat berkenaan, baru-baru ini.
PIHAK Universiti Malaya (UM) mengecam tindakan seorang graduan yang tidak menghormati konvokesyen dan mengganggu perjalanan protokol istiadat berkenaan, baru-baru ini.

UM buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menyifatkan tindakan graduannya yang tidak menghormati konvokesyen dan mengganggu perjalanan protokol istiadat berkenaan, semalam sebagai biadap serta tidak dapat diterima.

Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi terbabit membuat laporan polis membabitkan insiden berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain mencemarkan nama baik Universiti Malaya tindakan itu juga disifatkan sebagai menjejaskan graduan dan seluruh warga universiti terbabit

“Sebagai universiti diiktiraf dunia selaku antara yang terbaik, UM sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara. Bagaimanapun, sebagai institusi pengajian tinggi yang menggalas amanah untuk mendidik generasi masa depan, UM percaya bahawa apa juga tindakan berlandaskan prinsip berkenaan perlu dilakukan pada tempat dan dengan cara yang betul,” kata universiti terbabit dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan merujuk kepada tindakan seorang graduan kejuruteraan awamnya yang mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’.

Graduan terbabit melaungkan perkataan itu sambil menjerit “ini tanah Malaysia” selepas menerima ijazah di atas pentas bagi sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59 pagi semalam.

Istiadat konvokesyen berkenaan dibuka secara rasmi oleh Tuanku Canselor UM yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sidang pertama pagi Sabtu lalu.

Ia diteruskan dengan perkenan baginda sehingga sidang terakhir esok, yang turut dihadiri tetamu kenamaan, pensyarah dan graduan yang diraikan selain ibu bapa.

UM menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab institusi terbabit untuk memastikan mahasiswa yang diasuh dan didik bukan saja akan menjadi individu yang berpengetahuan, tetapi lebih penting lagi dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki.

Selain perlu menjadi insan terdidik dan berakhlak, graduan UM juga perlu menghormati prinsip ‘kesopanan dan kesusilaan’ selain arif mengenai peranan dan tanggungjawab mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat dan warga bagi negara berperlembagaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X