Selasa, 15 Oktober 2019 | 1:26pm
Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Pemberian royalti minyak belum muktamad - Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR: Pembayaran 20 peratus royalti minyak di empat negeri pengeluar petroleum belum dimuktamadkan, manakala agihan yang dibuat ketika ini adalah pemberian wang ihsan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pembayaran wang ihsan yang diberikan itu adalah mengikut kadar ditetapkan.

“Kita kena semak semula sebab 20 peratus royalti itu masih dalam perbincangan. Sekarang kita masih gunakan kaedah lama tetapi tidak lagi dikuasai atau diuruskan kerajaan Persekutuan.

“Kita membayar terus kepada kerajaan negeri kerana itu hak yang dijamin Perlembagaan.

“Saya tidak pasti kalau ada dakwaan itu adalah wang ihsan (royalti) kerana secara prinsipnya pembayaran tunai dibuat terus kepada kerajaan negeri dan mengikut kadar ditetapkan,” katanya.

Ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini, Mohamed Azmin diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, yang menafikan menerima pembayaran royalti petroleum daripada Kerajaan Persekutuan.

Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sebelum ini yang menyebut pembayaran royalti kepada kerajaan Kelantan sudah dibuat bulan lalu atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan secara prinsipnya bersetuju supaya pembayaran tunai yang disebut sebagai ‘royalti’ itu akan terus dibayar kepada kerajaan negeri pengeluar minyak.

Selain Kelantan, bayaran turut diagihkan kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Saya dimaklumkan, PETRONAS akan membuat bayaran kepada Kementerian Kewangan dan kementerian melakukan pembayaran terus kepada negeri berkenaan.

“Hari ini ada kenyataan Menteri Kewangan bahawa bayaran kepada Kelantan sudah dibuat baru-baru ini manakala Terengganu sudah mendapat bayaran penuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin menafikan khabar angin kononnya bakal menubuhkan parti baharu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR menegaskan masih setia dengan kepemimpinan.

Katanya, pandangan pengasas bersama PKR, Syed Husin Ali, berhubung perkara itu tidak menimbulkan sebarang kesan.

“Dia sudah berpuluh tahun dalam politik. Tidak ada kesan pun. Mungkin dia cemburu Dr Mahathir dapat sambutan baik daripada rakyat.

“Saya dipilih dan saya mendapat mandat daripada ahli PKR serta menang majoriti dalam pemilihan lalu.

“Melainkan ada orang yang cemburu dan nak saya keluar parti, saya akan kekal dalam parti, sokong kepemimpinan dan ahli,” katanya.

Berita Harian X