Selasa, 15 Oktober 2019 | 5:47pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Memandu kereta hiburan kepada saya - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui aktiviti yang paling digemari, memandu kereta adalah satu hiburan kepadanya.

Walaupun usianya mencecah 94 tahun, Dr Mahathir menganggap aktiviti memandu kereta adalah sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi jika dapat memecut dengan lebih laju.

Ketika memandu, beliau sering ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah dan kadang-kadang memandu sendirian.

“Saya suka bawa kereta. Sekarang ini cuma itu saja kegiatan boleh saya lakukan. Ia semacam menghiburkan diri saya. Hujung minggu saya suka bawa kereta.

“Sekarang, hujung minggu memang saya bawa kereta. Seronok bawa kereta walaupun waktu malam kadang sakit kaki sikit. Tapi bawa kereta satu hiburan kepada saya. Kadang-kadang dengan isteri. Kalau dengan isteri saya padu perlahan.

“Paling laju saya pernah bawa kereta 180 kilometer sejam. Maju Expressway masa itu belum dibuka tapi boleh diakses, tidak ada kereta lain, maka saya bawa laju,” katanya.

Beliau berkongsi minatnya itu ketika ditemubual Geng Pagi Hot (GPH) iaitu Shuk, Shuib dan Fizie.

Ketiga-tiga penyampai radio terbabit berpeluang bertemu dan menemubual Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya, pada 9 Oktober lalu.

Rakaman temu bual bersama Perdana Menteri disiarkan di stesen radio terbabit pada jam 6 pagi hingga 10 pagi tadi.

Bagi Dr Mahathir, memandu bukan satu yang luar biasa bagi dirinya kerana beliau pada waktu belajar di Singapura pada tahun 1950-an sudah biasa memandu dari negara itu ke Alor Setar, Kedah.

Oleh sebab sudah terbiasa memandu dengan jarak jauh, beliau tidak kekok untuk memandu apa juga jenis kenderaan dan memecut kenderaan dengan kelajuan agak ekstrim.

“Saya biasa bawa kereta dari Singapura ke Alor Setar. Kereta buruk, saya bawa sendiri. Saya beli di Singapura, masa itu belajar. Saya beli kereta itu bumbungnya kain. Saya bawa dari Singapura ke Kuala Lumpur kemudian ke Alor Setar,” katanya.

Dr Mahathir mengakui beliau suka mencuba keupayaan kereta baharu terutama jenama Proton atau apa juga jenama yang diberi pinjam kepadanya.

“Setiap kali Proton keluar kereta baru mereka akan beri saya saya cuba. Saya sudah bawa semua jenis kereta Proton tapi kadang-kadang jenis lain saya cuba juga,” katanya.

Berita Harian X