Selasa, 15 Oktober 2019 | 9:21pm
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. - NSTP/Abdullah Yusof

Tajuk debat tak ikut SOP

KUALA LUMPUR: Siasatan mendapati panel pemilih usul pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) yang mencetuskan kontroversi, tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata panel terbabit yang juga pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal daripada pihak SDAR berkaitan usul tajuk debat.

“SDAR turut memaklumkan panduan SOP perdebatan diperjelaskan kepada Ketua Juri agar pemilihan tajuk debat tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum, kebudayaan dan isu yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Justeru, kementerian melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) juga sedang meneliti kemungkinan untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua pelajar berkenaan yang juga pelajar sebuah IPTA,” katanya.

Selain itu, KPM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan ketika menganjurkan program yang boleh mengganggu keamanan antara kaum dan agama.


Yang di-Pertua PUM, Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir.

Terdahulu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional mendesak tindakan tegas diambil terhadap penganjur debat itu.

Presiden PGSM, Musa Awang, berkata pihaknya mengutuk keras tindakan penganjur yang tidak mengambil kira sensitiviti agama dalam debat itu.

Musa menegaskan tidak semua perkara dalam Islam boleh dikhilafkan atau didebatkan menggunakan akal kerana ada sesetengah perkara telah menjadi qath’i lantaran terdapat dalil dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Oleh itu tindakan mengadakan pertandingan dalam isu ini yang mempersoalkan undang-undang Syariah, menukar isi kandungan al-Quran dan merubah keharaman homoseksual adalah satu bentuk debat yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

“Lebih mendukacitakan dan melampau apabila debat seperti ini cuba diadakan di kalangan pelajar sekolah.

“Ia bukan sahaja biadab terhadap Islam sebagai agama Persekutuan, malah ia adalah satu tindakan menghina Islam, Yang di-Pertuan Agong serta Sultan-Sultan yang menjadi ketua negeri bertanggungjawab terhadap Islam pada setiap negeri,” katanya.

Yang di-Pertua PUM, Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, juga kesal kerana penganjur tidak prihatin dengan pemilihan tajuk debat.

Abdul Halim berkata PUM percaya terdapat dalam kalangan bukan Islam yang tidak selesa dengan tajuk debat yang dikemukakan serta menggambarkan pemikiran jijik penganjur debat terbabit.

“Tajuk mengenai penulisan semula al-Quran sangat tidak wajar, bahkan ianya dilihat sebagai usaha merendah-rendahkan martabat Islam.

“Selain itu, perkara mengenai homoseksual juga adalah tidak diterima dalam negara ini. Perkara ini bercanggah dengan akidah Islam,” katanya.

Timbalan Ketua dan Pengarah Komunikasi AWAN Nasional, Anfaal Saari pula berkata walaupun permohonan maaf sudah dikeluarkan oleh panel pengadil, Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakir Amal, kementerian wajar mengambil langkah tegas kerana pesertanya adalah terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dari sekolah berasrama penuh seluruh Malaysia.

Polis juga digesa menyiasat bagi mengenal pasti dalang di sebalik penganjuran debat berkenaan yang secara jelas ada unsur sabotaj kepada nama baik kementerian.

“KPM perlu bertanggungjawab dengan memanggil semula semua peserta yang terbabit,” katanya.

Berita Harian X