Khamis, 17 Oktober 2019 | 9:30pm

Kerajaan Pulau Pinang nafi terbabit komik propaganda

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menafikan terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik didakwa berunsur propaganda yang dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri juga tiada kaitan dalam pengurusan komik itu, yang diterbitkan Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

“Muzium itu tiada kaitan dengan DAP. Kerajaan negeri hanya beri peruntukan setiap tahun bagi pembayaran sewa muzium itu di KOMTAR kerana ia juga adalah produk pelancongan negeri.

“Kita tidak tahu apa-apa mengenai penerbitan dan pengurusan komik itu kerana tidak pernah campur tangan dalam pengurusannya. Kita juga tidak tahu mengenai kewujudan komik itu.... boleh tanya Jabatan Pendidikan mengapa ia diedarkan ke sekolah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mempersoalkan sama ada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, memberi kebenaran bagi komik berkenaan diedarkan di SMJK dan SJK di negara ini.

Najib menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya malam kelmarin, memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa menyebarkan propaganda politik.

Gambar terbabit turut memaparkan surat bertarikh 8 Oktober 2019 dan keterangan surat yang ditujukan kepada pengetua sekolah.

Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dinyatakan sebagai pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia.

Ia dipercayai diterbitkan pada Jun lalu menerusi kerjasama antara kurator, Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.

Sementara itu, jurucakap Muzium Kebudayaan Komik Asia berkata mereka kini dalam proses menerbitkan versi Bahasa Melayu komik berkenaan, yang pada awalnya hanya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, selain dijual pada harga RM25 senaskhah.

“Namun, hari ini kami menerima arahan daripada pihak berkuasa supaya penerbitan komik itu tidak diteruskan,” katanya.

Muzium Kebudayaan Komik Asia mula dibuka kepada awam pada 28 Mei 2016 dan dirasmikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan tiada kebenaran atau kelulusan dikeluarkan untuk pengedaran buku komik itu kepada institusi pendidikan termasuk sekolah.

"Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sudah diarah memastikan semua sekolah tidak menerima serta mengedarkan buku komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.

"Kita juga akan mengkaji dengan lebih teliti isi kandungan buku itu, membabitkan fakta dan orientasi penulisan.

“Kementerian Pendidikan juga akan mendapatkan ulasan Kementerian Dalam Negeri mengenai aspek keselamatan yang membabitkan sensitiviti masyarakat dan hubungan luar negara," katanya.

Berita Harian X