Sabtu, 19 Oktober 2019 | 1:24pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador merasmikan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4.0 2019 (RBV#4) di Dataran Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

10 pegawai kanan, 33 anggota PDRM dikenakan tindakan sejak 2014

KUALA SELANGOR: Seramai 10 pegawai kanan polis dan 33 anggota pelbagai pangkat yang dikenal pasti terbabit rasuah berkaitan penyeludupan rentas sempadan, sudah dikenakan tindakan sejak 2014.

Antara tindakan tatatertib diambil terhadap mereka ialah penahanan kenaikan gaji dan pangkat, denda serta ditempatkan di pos yang tidak aktif.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata bagaimanapun ada yang tidak dapat didakwa di mahkamah berikutan masalah teknikal.

“Tahun ini, dua pegawai kanan dikenal pasti melakukan kesalahan itu, manakala pada tahun lalu pula dua pegawai dan 16 anggota.

“Ada juga beberapa kes yang mana anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menolak (rasuah) dan menangkap pemberinya.

“Berdasarkan rekod, 29 anggota polis cuba dirasuah membabitkan nilai RM86,000 dengan masing-masing ditawarkan antara RM1,000 hingga RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4.0 2019 (RBV#4) di Dataran Puncak Alam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penaung dan Penasihat Gabungan Kelab Permotoran Malaysia, Tan Sri Rozali Ismail.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan klip video berdurasi 11 minit berhubung kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis.

Dalam pada itu, Abdul Hamid mengaku kegiatan penyeludupan rentas sempadan turut berlaku di perairan negara membabitkan sempadan Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Namun, katanya, PGA, Pasukan Polis Marin, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan balai setempat berjaya mematahkan banyak cubaan menyeludup, tahun ini.

Beliau berkata, antara barangan terbabit dalam kegiatan itu ialah dadah, arak, daun ketum, senjata api dan haiwan eksotik.

Justeru, Abdul Hamid berkata, beberapa cadangan dibuat hasil interaksi pihaknya dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan SPRM bagi membendung anggota polis daripada terpengaruh dengan penyelewengan.

Antara tindakan akan diambil ialah menempatkan pegawai di tempat yang ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Berita Harian X