Sabtu, 19 Oktober 2019 | 7:26pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Mohd Redzuan mula lawatan kerja ke New Zealand

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, membuat lawatan kerja selama tiga hari ke New Zealand bermula hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Usahawan, menteri akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pengurusan Gunaan Antarabangsa Ke-8 (IAMC), atas jemputan Pengerusi IAMC dari Waikato Institute of Technology (Wintec), Dr Reza Yaghoubi.

Dalam ucaptama beliau, Mohd Redzuan dijangka berkongsi butiran mengenai pelbagai inisiatif kementerian dan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara Keusahawanan menjelang 2030, seperti yang dirangka dalam Dasar Keusahawanan Negara 2030.

Mohd Redzuan juga dijadualkan menemui pemimpin pelajar di University of Auckland, ketua-ketua Persatuan Islam di New Zealand dan pengeksport daging halal tempatan dalam lawatan itu.

“Menteri juga akan melakukan kunjungan ke Rotokauri Campus untuk meninjau kemungkinan inisiatif kerjasama dua hala dalam pembangunan keusahawanan.

“Beliau turut melawat Pusat Penyelidikan Pertanian Ruakura bagi meneroka kemungkinan kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan kedua-dua negara, dalam sektor pertanian selain bioteknologi,” katanya.

Pada Isnin, menteri akan menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan syarikat Malaysia dan rakan New Zealand mereka.

Menurut kenyataan sama, MoU dalam bidang pembangunan teknologi baharu itu adalah berasaskan blockchain untuk tujuan pembangunan tenaga kerja dan pembangunan hab gelatin halal di Malaysia.

Kementerian Pembangunan Usahawan turut memaklumkan, ia diberi mandat untuk menerajui pembangunan industri halal di Malaysia.

Sehubungan itu, kementerian terbabit sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama dan sektor swasta untuk membantu membangunkan inkubator gelatin halal pertama negara yang akan mendapatkan bekalan bahan mentahnya, seperti ‘bone chips’ (serpihan tulang), dari pelbagai negara termasuk New Zealand. - BERNAMA

Berita Harian X