Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:53pm
Majlis Presiden Pakatan Harapan akan menentukan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal atau sebaliknya. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Majlis Presiden tentukan status Dr Mahathir sebagai PM

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan menentukan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal atau sebaliknya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian PH.

“Itu kenyataan peribadi (Mohamed Azmin). Keputusan ini (status Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri), dalam mana-mana sistem demokrasi berparlimen, adalah keputusan parti memerintah.

“Maknanya, saya serah kepada Majlis Presiden PH,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.


Anwar bercakap kepada pemberita ketika hadir pada sidang Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendirian Mohamed Azmin menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pendirian Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bertentangan dengan konsensus PH membabitkan pertukaran Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh penggal PRU-14, seperti dilaporkan sebelum ini.

Sebelum ini, Anwar dilapor membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Dr Mahathir sekitar tahun depan, iaitu dua tahun selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

Anwar turut dilaporkan berkata, wujud perjanjian bertulis menyatakan beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir, yang dipersetujui semua parti komponen PH dan dinyatakan kepada umum sebelum PRU-14.

Mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang menyifatkan ada pihak mahu mengubah pentadbiran dalam tempoh satu atau dua tahun sebagai cuba menubuhkan kerajaan ‘pintu belakang’, Anwar berkata: “Pintu belakang itu pendapat dialah.”

Anwar berkata, Mohamed Azmin tidak pernah menyatakan pandangannya berhubung peralihan kuasa ketika mereka minum kopi bersama di lounge Parlimen minggu lalu.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen Gombak itu wajar mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan konsensus PH kepada umum, Anwar berkata: “Tak apalah, kita faham latar belakang (Mohamed Azmin).”

Berita Harian X