Jumaat, 25 Oktober 2019 | 8:01pm
Penggunaan CRS antara langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Tiga kriteria beli kerusi keselamatan kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Jenis kereta, kerusi dan saiz kanak-kanak adalah tiga kriteria utama yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak, berkata sebagai permulaan, ibu bapa perlu memastikan kenderaan mereka mempunyai alat ISOFIX dan tambatan atas (top-tether) bagi membolehkan kerusi kanak-kanak disambungkan ke kerusi kenderaan dengan lebih mudah dan selamat.

Katanya, ISOFIX dan top-tether adalah komponen wajib bagi model kereta keluaran bermula 2015 bagi menyokong penggunaan kerusi keselamatan untuk kanak-kanak.

“Klasifikasi kerusi keselamatan untuk kanak-kanak dengan ketinggian dan berat adalah berdasarkan piawaian United Nation (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Regulation (Peraturan) 44 dan 129.

“Piawaian itu menyatakan supaya kanak-kanak di bawah ketinggian 135 sentimeter (sm) dan berat di bawah 36 kilogram (kg) perlu menggunakan kerusi keselamatan itu.

“Kerusi berkenaan direka mengikut empat kategori iaitu 0, 0+ (jenis menghadap belakang), dan i, ii, ii (jenis menghadap hadapan),” katanya kepada BH, di sini, semalam.

Siti Zaharah menegaskan, kerusi keselamatan terbabit perlu mematuhi kelulusan Peraturan 44 atau 129 PBB dan dilengkapi pelekat ‘E-marking’ serta label PBB berwarna jingga.

“Label jingga itu mengandungi maklumat seperti kumpulan kerusi keselamatan untuk kanak-kanak, had berat serta tinggi dan nombor kelulusan PBB.

“MIROS dengan kerjasama Program Penilaian Keselamatan Kereta Baharu untuk Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan label kod QR untuk memudahkan proses membeli kerusi keselamatan mengikut piawaian PBB,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Zaharah berkata, sebanyak lapan sesi perkongsian membabitkan isu keselamatan jalan raya, termasuk penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak diatur sepanjang Minggu Keselamatan Kenderaan 2019 di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Melaka, selama enam hari berakhir esok.

Program dianjurkan MIROS dengan kerjasama ASEAN NCAP dan JPJ dihadiri penggubal dasar, pakar keselamatan jalan raya dan ahli akademik dalam dan luar negara dan ia antara usaha agenda keselamatan jalan raya PBB bagi mencapai sasaran dalam mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya pada peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata pihaknya akan mengesan individu yang ingkar memasang kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan bermula awal tahun hadapan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita akan mendapat perincian penuh mengenai tindakan yang boleh diambil mengikut akta itu daripada Kementerian Pengangkutan nanti.

“Dalam hal ini, JSPT sebagai agensi penguatkuasaan akan menyokong setiap perkara yang dapat membantu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan bermula 1 Januari tahun hadapan, kerajaan akan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan bagi menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan berkata langkah baru itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pula dipetik berkata, kerajaan masih belum menentukan bentuk mekanisme yang akan digunakan bagi penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang ingkar penggunaan CRS.

Berita Harian X