Khamis, 31 Oktober 2019 | 2:26pm
TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming. - Foto Nik Hariff Hassan

Tempoh hayat kenderaan tidak dimasukkan dalam NAP

KUALA LUMPUR: Hasil semakan semula Dasar Automotif Nasional (NAP) yang bakal dibentangkan hujung tahun ini tidak akan menggariskan Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, ketika mendedahkan perkara itu menyifatkan ELV tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia berikutan faktor geografi dan demografi rakyat.

Kerajaan sebaliknya akan menambah baik aspek kelayakan kenderaan untuk digunakan di atas jalan raya bagi memastikan aspek keselamatan pemandu dan pengguna lain sentiasa terjamin.

“Dalam semakan semula NAP 2019, tiada apa-apa dasar akan dibentang untuk ELV, sebab kereta lama misalnya lebih 10 tahun masih digunakan di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) yang membangkitkan sama ada kerajaan bakal memperuntukkan dasar berkaitan tempoh hayat kenderaan dalam semakan semula NAP.

Menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berhubung ekosistem kenderaan hibrid dan cekap tenaga (EEV), Kian Ming berkata, kerajaan bercadang meneliti perkara itu selepas semakan semula NAP dibentangkan.

“Kita akan buat pelan tindakan untuk isu berkaitan dan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya ekosistem EEV berupaya diperkembang dan dinaik taraf,” katanya.

Berita Harian X