Sabtu, 2 November 2019 | 8:00pm
KEADAAN sumber air yang keruh dipercayai akibat penerokaan hutan untuk penanaman Musang King. - Foto NSTP/Muhammad Mustakim Raml

EKSKLUSIF: Hutan simpan gondol

BALING: Keperluan menanam semula anak pokok balak di kawasan seluas kira-kira 1,200 hektar Hutan Simpan Gunung Inas di sini, dipercayai tidak dipenuhi apabila ditukarkan kepada tanaman durian, khususnya baka Musang King.

Penanaman benih durian itu dipercayai dijalankan pihak tertentu, selepas pembalakan di kawasan berkenaan selesai sejak lebih setahun lalu.

Keadaan itu menyaksikan tanaman durian kini meliputi empat kompartmen hutan simpan iaitu Enam, Tujuh, Lapan dan Sembilan, yang masing-masing seluas 300 hektar.

Tinjauan BH mendapati, pekerja ladang durian yang terdiri daripada warga asing, yang menggunakan pacuan empat roda melalui dua laluan ke kawasan puncak gunung berkenaan iaitu jalan air terjun Lata Chelak dan laluan Bukit Hijau.

Kesan gondolan hutan sehingga ke puncak gunung yang bersempadan dalam tiga daerah iaitu Baling, Kulim dan Pengkalan Hulu, Perak itu, dapat dilihat jelas dari arah Jalan Kupang-Gerik.

Lebih malang, kesan pembalakan dan gondolan hutan simpan itu membuatkan sungai yang menjadi sumber air graviti 3,000 penduduk Kampung Iboi musnah sama sekali apabila bertukar keruh sepenuhnya.


MALIK Arshad

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Projek Musang King, Malik Arshad, berkata pihaknya tidak menolak pembangunan atau projek yang mahu dilaksanakan di situ tetapi pemaju perlu lebih bertimbang rasa.

“Gondolan hutan gunung ini membawa banyak kesusahan kepada penduduk sekitarnya. Selain pencemaran sungai, bekalan air graviti kegunaan harian kami selama lebih 40 tahun termasuk untuk minuman dan masakan, tercemar hingga tidak dapat digunakan lagi.

“Mungkin ada beranggapan kami boleh mendapat air daripada paip Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun bukan semua penduduk mampu, selain bekalan sering terputus,” katanya.


KEADAAN Hutan Simpan di Gunung Inas yang dipercayai diteroka untuk dijadikan kawasan penanaman Musang King. - Foto NSTP/Muhammad Mustakim Raml

Malik mendakwa, Pengerusi Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Simon Ooi Tze Min, pernah melawat kawasan itu tahun lalu namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Akibat projek itu, Lata Chelak yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai aktiviti rekreasi dan pernah viral dengan kedai makan dalam sungai, bertukar suram apabila air jernih kini bertukar kemerahan.


KEADAAN air sungai di Hutan Simpan Gunung Inas yang keroh dipercayai akibat penerokaan di kawasan penanaman Musang King. - Foto NSTP/Muhammad Mustakim Ramli

Peniaga, Zaini Harun, 52, mendakwa sejak setahun lalu hanya dapat membuka kedai makannya tiga atau empat hari sahaja seminggu kerana tidak mempunyai sumber air bersih.

“Jika tidak hujan, bekalan air akan bersih dan saya boleh berniaga seperti biasa. Bila hujan, bekalan air akan bercampur tanah, menyebabkan kedai terpaksa ditutup.

“Saya tidak boleh bergantung kepada bekalan air paip kerana alirannya sangat kecil dan penduduk terpaksa menakung air seawal jam 2 pagi,” katanya yang perlu membayar pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) setiap minggu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Abd Ramlizauyahhudin Mahli, mengesahkan kawasan seluas 5,000 hektar sekitar Hutan Simpan Gunung Inas diluluskan sebagai kompartmen pembalakan sejak 2005.


ABD Ramlizauyahhudin Mahli

Katanya, bagaimanapun aktiviti pembalakan yang diselia Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu tamat pada 2016, kawasan itu sepatutnya ditanam semula dengan anak pokok hutan bagi tujuan pemuliharaan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri kemudian bersetuju membangunkan beberapa peratus daripada kawasan terbabit sebagai kawasan tanaman durian. Kawasan tanaman ini hanya diluluskan berdekatan anak sungai kerana ia memerlukan air yang banyak.

“Sehingga kini, kita belum tetapkan berapa peratus keluasan tanah di situ dijadikan kawasan tanaman pertanian, cuma pada dasarnya kita bersetuju dijadikan sebagai kawasan tanaman durian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan maklumat diterima, pihaknya akan menyemak semula kawasan pembalakan kompartmen tujuh, lapan dan sembilan Hutan Simpan Gunung Inas, yang tidak ditanam semula dengan anak pokok hutan, sebaliknya dibangunkan tanaman durian Musang King.

Abd Ramlizauyahhudin berkata, JPNK tetap memberi keutamaan kepada proses tanaman semula anak pokok hutan di kawasan berkenaan demi menjaga ekosistem alam.

“Diharapkan penduduk kawasan berkenaan tampil membuat laporan, sekiranya ada aktiviti mencurigakan berlaku. Jika ada pihak yang menceroboh, kita boleh mengambil tindakan undang-undang mengheret mereka ke mahkamah,” katanya.

Berita Harian X