Ahad, 3 November 2019 | 7:39pm
Lukisan bertajuk ‘Mindscape’ ciptaan Abdul Latiff Mohidin, yang dijual pada harga RM313,000, menjadi karya termahal dilelong.

RM2.6 juta hasil jualan lukisan sempena lelongan HBAA

KUALA LUMPUR: Lukisan bertajuk ‘Mindscape’ ciptaan Abdul Latiff Mohidin, yang dijual pada harga RM313,000, menjadi karya termahal dilelong sempena acara lelongan Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) di Galeri Prima, Balai Berita di sini, hari ini.

Tiga karya lain yang dijual pada harga premium ialah lukisan bertajuk ‘Imitating The Woods’ oleh Ahmad Fuad Osman dan ‘Siri Tari’ karya Yusof Ghani, masing-masing dijual pada harga RM123,000, manakala lukisan Chan Fee Ming, bertajuk ‘Two Woman’, dijual dengan harga RM112,000.


Lukisan bertajuk ‘Tow Women, 1986’ antara yang dipamer di Galeri Prima, Balai Berita NSTP, Bangsar. - NSTP/Salhani Ibrahim

Karya seni lain yang dilelong termasuk ciptaan Datuk Ibrahim Hussein, Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Mohd Hoessein Enas, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Dzulkifli Buyong dan Awang Damit Ahmad.

Pengarah HBAA, Sim Polenn, berkata pihaknya gembira kerana lebih 65 peratus daripada 188 lot hasil seni pelukis terkemuka tempatan dan luar negara bernilai lebih RM2.6 juta berjaya dijual sempena lelongan bertajuk ‘Malaysian and Southeast Asian Art’.

Katanya, walaupun mencatatkan jualan RM2.6 juta berbanding acara sebelumnya yang mencecah RM3 juta, pihaknya berpuas hati kerana memahami keadaan pasaran dan ekonomi semasa.

“Walaupun jualan hari ini agak berkurangan, kami berpuas hati kerana setakat ini berjaya meraih jualan RM7.6 juta hasil jualan lukisan dan karya seni dipamerkan di Galeri Prima tahun ini (tiga acara lelongan setakat ini),” katanya.


Antara lukisan yang dipamer di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar. - NSTP/Salhani Ibrahim

Beliau juga berkata, sebanyak 16 lot lukisan dan ukiran bernilai RM246,000 dijual menerusi acara Lelongan Amal Khas, Projek Seni Biru (BAC) hari ini bagi mengumpul dana untuk pembinaan sebuah sekolah seni di Kemboja sempena ulang tahun ke-10 HBAA.

Berikutan itu, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan projek pembinaan sekolah seni itu.

Projek BAC diperkenalkan pada tahun 2011 dengan misi untuk menyediakan pendidikan seni dan latihan vokasional kepada kanak-kanak Kemboja yang kurang bernasib baik.


Lukisan bertajuk ‘Untitled, 1971’ karya Khalil Ibrahim dipamer di Galeri Prima, Balai Berita NSTP, Bangsar. - NSTP/Salhani Ibrahim

Berita Harian X