Rabu, 6 November 2019 | 11:13am
Gambar fail, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto Aswadi Alias

KDN gubal RUU Bahan Khayal tangani ketagihan gam

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka undang-undang khusus bagi menangani masalah ketagihan gam dan bahan khayal.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman, menjelaskan pihaknya kini giat menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Bahan Khayal supaya dapat dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat.

KDN juga akan meminda Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi meningkatkan pelaksanaan program rawatan dan pemulihan dalam kalangan penagih dadah.

“RUU Bahan Khayal dan pindaan terhadap Akta Penagihan Dadah antara usaha yang dilakukan bagi memperkasakan lagi hala tuju Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejajar dengan Dasar Dadah Negara yang diluluskan pada 2017.

“Kita turut mempertingkatkan keberkesanan pengurusan AADK dengan memberi peruntukan tambahan dan pengisian jawatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) mengenai perancangan bagi memperkasa dan memperluaskan bidang kuasa AADK.

AADK juga akan melaksana projek rintis bermula tahun depan bagi memperkukuhkan peranan agensi itu dalam usaha membasmi penagihan dadah.

“Selaras usaha kerajaan membangunkan komuniti melalui pembabitan badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan bersetuju memperuntukkan RM15 juta bagi melaksanakan projek rintis AADK tahun depan.

“Projek rintis ini akan membabitkan kerjasama sembilan kementerian dan 15 agensi serta jabatan berkaitan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai isu kebocoran maklumat membabitkan pegawai AADK dalam sesuatu operasi, Mohd Azis menegaskan ia antara masalah serius yang akan ditangani.

“Kita tidak menolak kemungkinan memang ada elemen sabotaj dalam kalangan pegawai AADK kita sendiri. Ini membabitkan isu integriti, bagaimanapun ia masih dalam kawalan kita.

“Kita ada buat pembaharuan dari segi prosedur operasi dan pegawai kita sendiri tidak tahu di mana operasi penguatkuasaan akan dilakukan sehingga tiba hari operasi itu dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X