Rabu, 6 November 2019 | 2:29pm
Media antarabangsa melaporkan ribuan penunjuk perasaan terus membanjiri bandar di Hong Kong mencetus keadaan huru hara selepas menyekat jalan utama berhampiran bangunan kerajaan bagi membantah pembahasan kedua rang undang-undang ekstradisi. - Foto AFP
Media antarabangsa melaporkan ribuan penunjuk perasaan terus membanjiri bandar di Hong Kong mencetus keadaan huru hara selepas menyekat jalan utama berhampiran bangunan kerajaan bagi membantah pembahasan kedua rang undang-undang ekstradisi. - Foto AFP

Tiada kemasukan rakyat Hong Kong berskala besar

KUALA LUMPUR: Tiada kemasukan besar-besaran rakyat Hong Kong ke negara ini bagi mencari perlindungan berikutan pergolakan yang melanda wilayah itu.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berdasarkan rekod kemasukan warga asing daripada Jabatan Imigresen.

"Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen jumlah ketibaan rakyat Hong Kong di Malaysia pada 2017 adalah seramai 345 orang, 458 orang pada tahun lalu dan 242 orang setakat 31 Ogos lalu.

"Berdasarkan angka itu, ia menunjukkan tiada peningkatan ketara kemasukan rakyat Hong Kong ke Malaysia walaupun di sana berlaku ketidaktentuan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada terdapat kemasukan berskala besar rakyat Hong Kong ke negara ini susulan krisis yang melanda wilayah berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Jalaluddin mengenai kemungkinan Malaysia dijadikan destinasi transit pelarian warga asing melalui program Malaysia My Second Home (MM2H), Mohd Azis menegaskan perkara itu tidak akan berlaku kerana tapisan ketat dikenakan terhadap peserta MM2H.

"MM2H adalah program inap jangka panjang bagi menarik dan menawarkan peluang kepada warga asing untuk tinggal lebih lama dan berbelanja di negara ini," katanya.

Media antarabangsa melaporkan ribuan penunjuk perasaan terus membanjiri bandar di Hong Kong mencetus keadaan huru hara selepas menyekat jalan utama berhampiran bangunan kerajaan bagi membantah pembahasan kedua rang undang-undang ekstradisi.

Keadaan huru-hara yang berlarutan sejak Jun lalu menyebabkan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam terpaksa mengambil tindakan drastik dan mengisytiharkan darurat.

Berita Harian X