Jumaat, 8 November 2019 | 8:53pm

Purata baki kad TnG tidak cukup menurun di lebuh raya PLUS

PETALING JAYA: Purata baki tidak mencukupi kad tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) dalam kalangan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan seliaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menunjukkan trend penurunan.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail, berkata ini kerana beberapa inisiatif diambil syarikat termasuk menyediakan pelbagai platform bagi menambah nilai kad itu dengan kerjasama rakan syarikat lain termasuk stesen minyak di sepanjang lebuh raya PLUS.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kesesakan melampau di plaza tol tidak akan berlaku lagi selepas ini.

“Dapatan kaji selidik pada 5 November lalu menunjukkan sembilan peratus daripada 238,000 kereta di sebelah zon utara, tidak mempunyai baki kad mencukupi. Namun, peratusan itu menurun kepada lima peratus pada 6 November lalu. Penurunan juga berlaku di zon tengah pada tarikh sama apabila lima peratus daripada 850,000 kereta turun kepada 1.3 peratus bagi baki kad tidak mencukupi.

“Bagi zon selatan, sebanyak 199,000 kereta menggunakan lebuh raya menghala ke zon berkenaan dan daripada lapan peratus akhirnya turun kepada empat peratus dalam tempoh dua hari sama seperti dua zon lain.

“Ini bermaksud, sekarang 98.7 peratus baki kad nilai tambah TnG di lebuh raya yang digunakan di lebuh raya kami mencukupi,” katanya dalam satu taklimat bersama media di ibu pejabat PLUS, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan akhbar BH hari ini berkenaan kesesakan teruk lebih tujuh kilometer di Plaza Tol Skudai, Johor yang beberapa kali berlaku sejak Selasa lalu.

Memberi reaksi balas terhadap saranan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu PLUS mengkaji semula penutupan lorong tambah nilai TnG, beliau mengambil maklum hal terbabit.

Beliau menegaskan, PLUS memiliki prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk tidak membenarkan kesesakan yang panjang berlaku lagi pada masa akan datang.

“Kami di PLUS mengutamakan keperluan pelanggan, tetapi pada masa sama menasihatkan pengguna tidak keluar kenderaan untuk pergi membuat tambah nilai kad TnG mereka kerana membahayakan diri termasuk kakitangan PLUS yang bertugas di lapangan,” katanya.

Kesesakan di Plaza Tol Skudai itu mengakibatkan lorong keluar terhalang berikutan segelintir pengguna tidak mempunyai baki kad TnG mencukupi.

Tinjauan BH di kawasan itu mendapati, lorong kenderaan berat di sebelah kiri menjadi laluan paling teruk terjejas kerana pemandu termasuk memandu kereta menyangka mereka masih boleh menambah nilai di situ seperti sebelum ini.

Beberapa pengguna dilihat meninggalkan kenderaan dekat plaza tol sebelum berlari ke kawasan hentian untuk menambah nilai kad TnG menggunakan kiosk layan diri automatik, manakala ramai pemandu lori yang terhalang membunyikan hon berulang kali sehingga menyebabkan suasana menjadi kecoh.

Semalam, PLUS merekodkan 2,600 transaksi tambah nilai kad TnG di Plaza Tol Skudai akibat baki kad nilai tambah tidak mencukupi.

Mengulas fasiliti tambah nilai kad TnG, Azman berkata, kini terdapat hampir 11,000 kemudahan berkenaan bagi memudahkan pengguna lebuh raya.

Katanya, fasiliti itu juga boleh didapati di sepanjang lebuh raya PLUS dan pihaknya akan memastikan semua rakan niaganya termasuk stesen minyak mempunyai akses terhadap kemudahan itu.

“Selain itu, perkhidmatan tambah nilai kad TnG boleh didapati di kios tambah nilai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah di sepanjang lebuh raya kami,” katanya

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Purata baki tidak mencukupi kad tambah nilai TnG dalam kalangan pengguna lebuh raya seliaan PLUS menunjukkan trend penurunan. - Foto hiasan
Berita Harian X