Isnin, 11 November 2019 | 7:11pm
CIMB dan PLUS bekerjasama menyediakan pilihan pembayaran kepada pengguna lebuh raya PLUS di seluruh negara menerusi RFID. - Foto hiasan

CIMB, PLUS bekerjasama memudahkan pembayaran tol

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd dan PLUS Malaysia Berhad mengumumkan persetujuan untuk bekerjasama menyediakan pilihan pembayaran kepada pengguna lebuh raya PLUS di seluruh negara menerusi Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menerusi inisiatif yang diuruskan Touch n’ Go Sdn Bhd (TnG) ini, pengguna akan menikmati pengalaman pembayaran tol yang lebih lancar melalui konsep ‘Open Payment’.

Ia bermakna pengguna boleh memilih untuk menyambungkan TnG RFID dengan akaun bank, kredit kad, debit kad atau TnG e-wallet.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan PLUS dan pihak konsesi lebuh raya lain dalam memastikan jenis pembayaran ini boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.

“Kami akan terus berinovasi dalam memberi kepuasan pelanggan dan memastikan kerjasama dengan rakan konsesi untuk memberi penyelesaian dan keberkesanan kepada pengguna lebuh raya.

“Melalui inisiatif ini, kami melihat ia sebagai satu evolusi dalam pembayaran, yang lebih inklusif dan sesuai untuk masa depan lebuh raya negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail pula berkata, adalah penting untuk setiap pengguna lebuh raya diberi lebih banyak pilihan untuk memastikan keselesaan dalam perjalanan dan ia juga sentiasa menjadi pertimbangan bersama rakan kongsi.

“Kami gembira untuk mengumumkan ‘Open Payment’ ini akan dinikmati oleh semua pengguna lebuh raya, sejajar dengan kemahuan untuk setiap kemudahan.

“Cara pembayaran lain juga akan dipertimbangkan dalam memastikan ia relevan dengan kehendak pasaran.

“Transaksi RFID adalah ‘real time’ (masa sebenar) dan pelanggan akan menerima notifikasi serta merta mengenai baki bayaran dan CIMB bersama TnG juga sudah memberi komitmen tinggi dalam standard perkhidmatan ini,” katanya.

Perkhidmatan TnG RFID akan disediakan di 10 plaza tol PLUS bersistem terbuka sebagai permulaan, pada 1 Januari 2020, disusuli 83 plaza tol bersistem tertutup pada 1 April 2020

Plaza tol bersistem terbuka adalah sistem bayaran tol dengan kadar tetap berdasarkan kelas kenderaan, manakala plaza tol bersistem tertutup pula adalah berdasar kelas kenderaan dan jarak perjalanan.

Berita Harian X