Isnin, 11 November 2019 | 8:00pm
Pemandangan dari atas yang diambil menggunakan dron kelihatan pokok ketum yang ditanam secara terbuka dengan kebanyakan ladangnya boleh ditemui di kawasan sekitar Padang Terap. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kebun ketum dalam sawah

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya empat daerah di Kedah dikesan menjadi kawasan penanaman ketum yang dipercayai terbesar di negara ini dengan keluasan mencecah lebih 100 hektar.

Kawasan penanaman di Padang Terap, Kubang Pasu, Yan dan Sik berkenaan dianggarkan mampu mengeluarkan sehingga 180 tan daun ketum dengan nilai pasaran mencecah RM3 juta bagi setiap kali tuaian.

Sumber Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) berkata, keluasan ladang ketum yang direkodkan di Kedah pada tahun lalu mencapai 114 hektar iaitu 80 hektar di Padang Terap, Kubang Pasu (22), Yan (9) dan Sik (3).

Wartawan dan jurugambar Berita Harian (BH) menjejaki kawasan penanaman berkenaan baru-baru ini dan mendapati, ketum diusahakan secara berselerak dan tersorok sebagai muslihat bagi menyukarkan ia dikesan pihak berkuasa.

Setiap kebun ketum dianggarkan berkeluaran antara 0.28 hektar hingga lebih satu hektar.

Bagi kawasan yang bersaiz kecil, pokok ketum ditanam di kawasan sawah yang agak sukar dimasuki kenderaan, kecuali menggunakan motosikal.


KAWASAN penanaman ketum di Padang Terap. - Foto Sharul Hafiz Zam

BH bagaimanapun mengesan satu ladang ketum bersaiz besar di daerah Padang Terap, namun wartawan dan jurugambar terpaksa meredah kawasan batas sawah sejauh lebih satu kilometer sebelum menemui 'pulau' yang dijadikan kawasan tanaman.

Ladang ketum yang ditemui BH ini sukar dikesan jika ditinjau dari jalan utama kerana kedudukannya berada di belakang kawasan berbukit.

Berikutan itu, kru BH terpaksa menggunakan dron sebelum menemui ladang ketum seluas lima relung atau seluas 1.4 hektar itu.

Di daerah lain, kebun ketum biasanya berselindung di antara kebun getah dan hutan, namun keluasan tanamannya adalah kurang daripada satu hektar.

Difahamkan, ladang berkeluasan besar ini diusahakan penduduk tempatan yang menjual daun ketum kepada sindiket sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

Sindiket penyeludupan dikatakan lebih cenderung menyeludup keluar daun ketum berikutan harga bahan itu yang dilaporkan mencecah sehingga RM100 sekilogram berbanding hanya antara RM18 hingga RM20 sekilogram di negara ini.


Bagi kawasan yang bersaiz kecil, pokok ketum ditanam di kawasan sawah yang agak sukar dimasuki kenderaan, kecuali menggunakan motosikal. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Oktober tahun lalu, Kerajaan Kedah mengumumkan akan menggunakan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara bagi menghapuskan ladang ketum, namun sehingga kini langkah itu belum memberi kesan positif.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipetik sebagai berkata, langkah drastik itu diambil bagi menangani masalah berkaitan penyalahgunaan ketum yang dilihat lebih banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Paya Sidang, Lesong, dikenali sebagai Azman yang berusia lingkungan 50-an, berkata pemilik kebun ketum biasanya memperoleh antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan hasil daripada jualan daun ketum.

Katanya, daun ketum biasanya dibeli orang tengah yang kemudian akan menjualnya kepada sindiket tertentu sebelum diseludup ke negara jiran melalui jalan darat.

“Bagi orang kampung menanam ketum bukan jadi kesalahan kerana jika hanya bergantung kepada hasil padi memang tidak boleh menyara keluarga, selain tanaman ini juga dianggap sebagai perkara biasa.

“Cuma apabila ada pihak tertentu menawarkan mahu membeli daun ketum dalam jumlah banyak, ada penduduk mengusahakan tanaman pokok ketum dalam jumlah besar bagi mendapatkan pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui.

Azman berkata, daun ketum tidak boleh dituai setiap hari, sebaliknya proses memetik daun dilakukan dua hingga tiga seminggu sekali bergantung kepada tempahan.

“Daun ketum memang selalu ada tempahan, kebanyakannya dihantar ke seberang (Thailand) selain ada juga orang tengah dari Kelantan dan Terengganu datang membelinya.

“Apabila ada tempahan, baharu daun ketum dipetik dan digulung sebelum dimasukan ke dalam guni dan diserah kepada orang tengah yang akan menghantarnya,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan, penghantaran daun ketum ke Kelantan dan Terengganu dilakukan menggunakan pengangkutan darat dengan caj RM3 bagi setiap kilogram.

Kerajaan diminta segerakan kuat kuasa larangan

Kerajaan diminta segera menggubal penguatkuasaan larangan ketum di bawah Akta Racun 1952 kerana penggunaan bahan itu didapati semakin berleluasa dalam kalangan remaja terutama di luar bandar.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) 1 Kota Setar, Dr Zaki Amani Abd Rashid, berkata ketum tidak boleh dipandang remeh kerana ia menyebabkan ketagihan apabila ia diambil tanpa pengawasan.

Katanya, masyarakat masih menganggap ketum hanyalah sebagai air minuman seperti teh atau kopi termasuk menjadi ubat cirit-birit serta memberi tenaga.

“Tetapi hakikatnya, ketum sudah menjadi ancaman terutama kepada remaja kerana kegunaannya bukan untuk tujuan rawatan, tetapi menjadi ketagihan.

“Ketum menyebabkan pengguna berasa khayal dan bagi memberi kesan khayal lebih lama, ia dicampur minuman berkarbonat bersama ubat batuk dan ubat nyamuk.

“Penyalahgunaan ketum seperti inilah menimbulkan gejala seperti keganasan, permusuhan, pengeluaran air mata yang kerap, susut berat badan, insomnia, lenguh otot dan sendi, kerap membuang air kecil dan sembelit,” katanya ketika dihubungi BH.


PDRM menyokong penanaman ketum bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan perubatan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Mengulas lanjut, Dr Zaki berkata, apa yang membimbangkan penggunaan ketum dalam jangka masa panjang boleh memberi kesan yang lebih buruk.

Ia boleh menjadikan kulit pipi menjadi gelap dan menghasilkan gejala tarikan atau gian fizikal sama seperti ketagihan heroin.

“Selain itu, sawan juga antara simptom yang sering ditemui terutama dalam kalangan pengguna remaja, selain simptom jangka panjang seperti halusinasi, delusi dan kekeliruan.

“Berdasarkan pengalaman klinikal, saya pernah merawat kanak-kanak dipukul sehingga patah tangan oleh bapanya yang juga pengguna ketum tegar.

“Perasaan mudah marah sehingga membawa keganasan dan mencederakan orang lain adalah satu kesan buruk yang sangat berbahaya,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Dr Zaki yang kini bertugas di sebuah pusat perubatan swasta berkata, Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) telah menyenaraikan ketum sebagai dadah psikoaktif baharu dalam buku Laporan Dadah Sedunia 2013.

Berita Harian X