Isnin, 11 November 2019 | 9:39pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT Parti Pribumi BERSATU Malaysia dan turut bersama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tun M terkejut Najib terkejut kes SRC

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis berkata beliau lebih terkejut apabila mendengar Datuk Seri Najib Razak terkejut dengan keputusan mahkamah yang memerintahkannya membela diri membabitkan kes dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dr Mahathir berkata, seluruh dunia tahu pembabitan Najib dalam kes itu dan beliau dihadapkan ke mahkamah kerana kerajaan menghormati kedaulatan undang-undang.

“Perbicaraan (Najib) mengambil masa berbulan-bulan. Itulah cara kita (PH) mentadbir kerajaan, ...bukan seperti mereka (Barisan Nasional), menahan (Datuk Seri) Khairuddin Abu Hassan (bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan) dan peguamnya, Matthias Chang tanpa sebab.

“Itulah cara mereka, menahan tanpa bertanya tetapi Najib melalui prosedur yang berjalan lancar, diberi ikat jamin malah berpeluang pergi berkempen (Pilihan Raya Kecil).

“Seperti hari itu, Najib alami sakit mata tetapi masih boleh pergi kempen (di Tanjung Piai) tetapi pergi mahkamah, tidak boleh pula. Semua ini kerana kita berlembut dan ikut kedaulatan undang-undang,” katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa anak guamnya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membela diri bagi tujuh tuduhan dihadapinya membabitkan SRC.

Ditanya mengenai tuduhan pembangkang kononnya beliau campur tangan dalam kes membabitkan Najib, Dr Mahathir menafikan dakwaan terbabit.

"Buktikan (campur tangan), saya tidak pernah campur tangan. Lihat apa yang berlaku ketika UMNO diharamkan pada 1988. Saya lalui dengan cara betul," katanya.

Sementara itu mengulas laporan media antarabangsa bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, Dr Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai maklumat tetapi akan melihat kenapa ia berlaku.

Menurut laporan itu, penarafan Malaysia telah diturunkan ke Kategori 2.

"Kita (kerajaan) akan membetulkan situasi terbabit supaya dunia akan menghormati pihak berkuasa penerbangan Malaysia," katanya.

Berita Harian X