Jumaat, 15 November 2019 | 9:10pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (dua kiri) menyampaikan hadiah Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada S. Eswaran (kanan) sempena sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2019M di Masjid Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP/Supian Ahmad
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (dua kiri) menyampaikan hadiah Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada S. Eswaran (kanan) sempena sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2019M di Masjid Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP/Supian Ahmad

Pemilihan Tokoh Maulidur Rasul rai keharmonian, kepelbagaian

KUALA LUMPUR: Selari agenda ‘Rahmah’ meraikan keharmonian dan kepelbagaian kaum, agama serta budaya di negara ini, Jawatankuasa Pemilihan Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan memilih S Eswaran, 39, sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul tahun ini.

S Eswara yang berkhidmat sebagai Penolong Jurutera di Bahagian Istiadat, Jabatan Kerja Raya (JKR) banyak terbabit dalam memastikan kelancaran majlis rasmi kerajaan membabitkan pemimpin tertinggi dan pembesar dalam serta luar negara.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Munir Md Salleh, berkata penganugerahan itu turut dibuka kepada masyarakat bukan Islam khususnya yang banyak menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat.

“S Eswaran banyak membantu melancarkan pelaksanaan program berkaitan hari kebesaran Islam, selain terbabit mengendalikan acara utama negara pada peringkat Wilayah Persekutuan, kebangsaan dan antarabangsa.

“Beliau pernah terbabit dalam pembinaan astaka Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa dari 2004 hingga 2019, manakala antara tugas mencabarnya adalah membuat persiapan ketibaan jenazah yang terbabit dalam tragedi MH17 pada 2014,” katanya kepada BH selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Sementara itu, S Eswaran berkata, anugerah itu bukan bersifat individu, sebaliknya mewakili semua masyarakat bukan Islam yang lain.

“Anugerah ini bukan milik saya sahaja, sebaliknya dikongsi bersama keluarga, rakan sekerja dan majikan, iaitu JRK yang banyak memberikan sokongan dalam kerjaya,” katanya.

Sementara itu, sumbangan besar bekas Felo Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd Roslan Mohd Saludin dalam memperkasa dan mempromosikan industri halal melayakkannya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan.

Mohd Roslan berkata, walaupun sudah mencapai usia 60 tahun, ia tidak mematahkan semangat untuk komited membangunkan industri halal ke tahap lebih tinggi.

“Pengiktirafan ini membuatkan saya mahu lebih bekerja keras, antaranya membangunkan rangka kerja berkaitan industri halal dengan menganggotai beberapa komuniti berkaitan dengannya.

“Saya juga sedang bekerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi membangunkan silibus pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang halal,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Mohd Shah Hasim yang dianugerahkan tempat pertama Masjid Terbaik Wilayah Persekutuan, berkata kegiatan pengimarahan di masjid itu yang dilaksanakan secara konsisten antara faktor pemilihan.

“Masjid ini dibangunkan sejak 1969 yang boleh dikatakan sejak dahulu tidak pernah sunyi dengan pelbagai aktiviti.

“Bukan sahaja tazkirah agama, bahkan kami turut membantu masyarakat setempat dengan menyediakan kelas keusahawanan dan berkongsi rezeki dengan asnaf selain mahu terus aktif menyantuni anak kariah,” katanya.

Penerima Anugerah Tokoh Utama membawa pulang wang tunai RM8,000, pakej umrah, piala iringan dan sijil, manakala penerima Anugerah Khas pula menerima wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil.

Bagi Anugerah Masjid Terbaik, pemenang tempat pertama membawa pulang RM8,000; kedua (RM6,000) dan ketiga (RM3,000).

Anugerah Kategori Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terbaik dinobatkan kepada Hidayah Centre Foundation; Anugerah Rumah Kebajikan Terbaik (Asrama Darul Falah PERKIM (ASDAF) dan Anugerah Maahd Tahfiz Terbaik (Sekolah Tahfiz Darul Furqan).

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Berita Harian X