Isnin, 18 November 2019 | 4:51pm
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong. NSTP/Eizairi Shamsudin
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong. NSTP/Eizairi Shamsudin

Lebih ramai doktor Malaysia di Cox's Bazaar

KUALA LUMPUR: Lanjutan operasi Hospital Medan di Cox’s Bazar, Bangladesh bakal menyaksikan pembabitan tenaga sokongan dalam kalangan doktor daripada Kementerian Kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, ketika mengumumkannya berkata, skala operasi hospital seliaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu kekal meskipun perkhidmatannya dilanjutkan sehingga Disember 2021.

Bagaimanapun, hospital yang dibina hasil rundingan kerjasama dengan kerajaan Bangladesh bagi merungkai isu kesihatan pelarian Rohingya itu ketika ini berdepan kekurangan tenaga pengamal perubatan.

“Oleh itu, operasi tahun depan bukan saja babitkan ATM, tapi juga Kementerian Kesihatan kerana kita mengalami kekangan dalam sistem bahagian kesihatan tentera Malaysia.

“Kita juga akan babitkan doktor sukarelawan daripada NGO, namun ingin ditegaskan saiz operasi kita sama,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai perubahan operasi selepas Malaysia bersetuju melanjutkan perkhidmatan Hospital Medan untuk tempoh maksimum iaitu dua tahun.

Kepada soalan asal Hon Wai berhubung pencapaian misi bantuan ATM, Chin Tong berkata, sebanyak 81,698 kes dirawat di Hospital Medan, sekali gus memacu hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh.

“Hospital ini juga menjadi medan latihan untuk meningkatkan kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi situasi bantuan kemanusiaan dan kesihatan.

“Perkhidmatan oleh petugas di hospital ini bukan saja diberi kepada pelarian Rohingya, tetapi turut dinikmati penduduk tempatan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) sama ada Malaysia berhasrat membina hospital baharu di wilayah Rakhine, Chin Tong berkata, kerajaan tidak mempunyai rancangan sedemikian kerana sebarang keputusan perlu mendapatkan kelulusan negara berkaitan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X