Selasa, 19 November 2019 | 3:54pm
KETUA Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. NSTP/Rasul Azli Samad

'Pertemuan itu khianati mandat, sakiti rakyat'

KUALA LUMPUR: Pertemuan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan sejumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), memberi mesej negatif kepada Pakatan Harapan (PH) dan rakyat.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata pertemuan itu menyakiti hati dan mengkhianati amanah rakyat kerana dilakukan dua hari selepas kekalahan teruk PH di Tanjung Piai.

“Biar rakyat menilai pertemuan dengan pimpinan UMNO yang dibuat selepas kekalahan teruk PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai.

“Saya percaya jika tak sakiti hati rakyat, ia mengkhianati amanah yang rakyat beri jika benar pertemuan seperti ini berlaku.

“Ia memberikan mesej negatif kepada PH dan rakyat,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas pertemuan antara Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dengan beberapa Ahli Parlimen termasuk daripada BN di kediamannya di Presint 10, Putrajaya, malam tadi.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, menyifatkan tindakan Ahli Parlimen UMNO menghadiri pertemuan itu bertentangan dengan pendirian

parti.

Mengakui beliau tidak diundang ke pertemuan itu, Tajuddin berkata, parti sudah membuat keputusan hanya Presiden UMNO diberi mandat menghadiri perjumpaan atau perbincangan dengan pihak luar.

“Ia bukan tindakan betul untuk Ahli Parlimen UMNO pergi ke rumah Mohamed Azmin tanpa memaklumkan terlebih dulu kepada pimpinan parti dan Presiden.

“Jika apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu membabitkan urusan parti sama ada UMNO atau parti lain, maka ia tidak betul dan bertentangan dengan keputusan parti.

“Tindakan terhadap mereka bergantung pada keseriusan (perkara dibincang). Jika tidak begitu serius, cukup sekadar peringatan. Jangan buat lagi dan ikut pendirian parti,” katanya.

Berita Harian X