Rabu, 20 November 2019 | 10:24pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas Bagi Membincangkan Hasil Kajian 'Loading Analyisis dan Carrying Capacity' di Pasir Gudang di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, semalam. - Foto BERNAMA
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas Bagi Membincangkan Hasil Kajian 'Loading Analyisis dan Carrying Capacity' di Pasir Gudang di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, semalam. - Foto BERNAMA

Jerebu rentas sempadan: Malaysia, Singapura setuju kerjasama kaji penyelesaian

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama dalam melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang pencegahan kebakaran di tanah gambut bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini.

Persetujuan itu dicapai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC), Yeo Bee Yin dan rakan sejawat dari Singapura, Masagos Zulkifli, ketika program Pertukaran Lawatan Tahunan (AEV) yang berlangsung dua hari berakhir 15 November lalu.

Singapura menjadi tuan rumah kepada AEV tahun ini, yang menjadi satu saluran bagi kementerian alam sekitar kedua-dua negara membincangkan dan menangani isu alam sekitar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan MESTECC, Bee Yin dan Masagos melahirkan kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan daripada kebakaran tanah dan hutan di rantau ini, yang menjejaskan rakyat Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua menteri mengambil maklum mengenai perkembangan dilakukan negara anggota ASEAN dalam menangani pencemaran jerebu rentas sempadan, dan menggesa semua pihak untuk memperbaharui komitmen mereka dalam melaksanakan Perjanjian ASEAN berhubung Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Selain Bee Yin, delegasi Malaysia disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) MESTECC, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, pegawai kanan MESTECC, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi kerajaan yang lain.

Singapura disertai Setiausaha Tetap, Albert Chua dan pegawai kanan dari Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura dan agensi kerajaan lain.

Sejak 1979, AEV memudahkan perhubungan dan kerjasama antara kedua kementerian berkaitan isu alam sekitar, melalui komitmen jangka panjang dan penyelarasan tindakan.

Kedua-dua menteri juga berbincang mengenai bidang kerjasama baharu seperti perubahan iklim, pengurusan sisa termasuk plastik dan pembungkusan, ekonomi sekitar semula, pencemaran industri dan keselamatan radiasi serta bidang kerjasama lain yang bersesuaian.

Ketika AEV itu, menteri terbabit turut melihat semula kemajuan dicapai Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura (MSJCE) yang bermesyuarat pada 14 Nov 2019.

Antara lain, mereka juga bertukar pandangan berkaitan kawalan pelepasan emisi kenderaan.

Menteri terbabit maklum mengenai kerjasama dua hala bagi mengurangkan pelepasan emisi berbahaya kenderaan, bagi mencapai tahap kualiti udara lebih baik di kedua-dua negara.

Mereka menggalakkan kedua-dua negara untuk terus bertukar maklumat berkaitan polisi dan mengenal pasti amalan terbaik dalam mengawalnya.

Bee Yin turut melawat Pusat Penyelidikan Iklim Singapura yang menjalankan kajian kepelbagaian iklim tropika dan perubahannya dan sistem cuaca yang berkaitan di Singapura dan rantau ASEAN.

AEV 2020 akan diadakan di Malaysia. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X