Jumaat, 22 November 2019 | 3:35pm
KHAIRY Jamaluddin

Saya tidak usulkan - KJ

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menafikan beliau mengemukakan usul kepada Parlimen untuk membincangkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan di media sosial hari ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menafikan gambar tular yang kononnya suatu surat pemberitahuan daripada beliau kepada Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawa serta membincangkan usul tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Saya menafikan telah menghantar apa-apa pemberitahuan atau surat kepada pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawakan usul seperti dalam gambar yang disebarkan.

“Tindakan pihak yang menyamar dengan menggunakan nama saya adalah sangat tidak bertanggungjawab dan suatu fitnah yang boleh menjejaskan reputasi saya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Rembau dan parti Barisan Nasional,” katanya.

Surat bertarikh 20 November lalu dan menggunakan nama Khairy itu dialamatkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah. Menerusi gambar yang tular itu, surat berkenaan dicop terima bertarikh semalam.

Khairy berkata, beliau agak lewat membuat penafian itu kerana berada di luar negara.

“Ini surat palsu yang dihantar ke Parlimen yang Parlimen terima tanpa periksa dengan saya,” katanya.

Katanya, kepala surat yang digunakan juga berbeza kerana sejak 2008 beliau tidak pernah meletakkan namanya.

Berita Harian X