Sabtu, 23 November 2019 | 5:52pm
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (tengah) bergambar bersama peserta-peserta program sempena Majlis Penutup Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 6.0 & Program Tunas Usahawan Baitulmal (TUB) Peringkat Kebangsaan 2019 di Kem Eco Millennium, Beranang. - Foto Zulfadhli Zulkifl

Peruntukan RM20 juta laksanakan TUBE tahun depan

BERANANG: Peruntukan bagi melaksanakan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pada tahun depan akan ditingkatkan kepada RM20 juta.

Peningkatan berbanding peruntukan RM10 juta diluluskan untuk TUBE 6.0 pada tahun ini akan memberi peluang kepada lebih ramai golongan belia yang berminat menyertai program terbabit.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata pihaknya dengan SME Corp sedang merancang melakukan penambahbaikan menerusi pertambahan dana.

“Kita mahu melihat penambahbaikan boleh dilakukan dengan pertambahan peruntukan itu, ia membolehkan lebih ramai belia dapat dibantu menjadi usahawan” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan TUBE 6.0 dan Program Tunas Usahawan Baitulmal (TUB) 2019 di Kem Eco Millenium dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee yang juga Pengerusi SME Corp Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (tiga kiri) beramah mesra bersama peserta-peserta program sempena Majlis Penutup Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 6.0 & Program Tunas Usahawan Baitulmal (TUB) Peringkat Kebangsaan 2019 di Kem Eco Millennium, Beranang. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Sementara itu, Wan Suraya berkata, program TUBE yang dilaksanakan sejak 2014 berjaya membantu 4,422 belia menceburi bidang keusahawanan dan daripada jumlah itu, seramai 4,380 usahawan mendaftarkan perniagaan dengan nilai jualan RM123.2 juta sehingga Oktober lalu.

“Kita juga membantu orang kurang upaya (OKU) yang pengambilan kumpulan pertama dilakukan pada tahun lalu, 28 OKU berjaya menamatkan latihan dalam bidang keusahawanan.

“Tahun ini seramai 27 lagi menamatkan latihan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi.

“Sehingga kini, usahawan OKU terbabit berjaya menjana purata jualan terkumpul mencecah RM540,000 atau purata bulanan hampir RM20,000 bagi setiap syarikat,” katanya.

Wan Suraya berkata, pihaknya juga bersedia menjalin kerjasama dengan jabatan agama Islam di seluruh negara bagi melaksanakan program keusahawan seperti dilaksanakan dengan MAIWP.

“Ia bagi membantu membangunkan golongan asnaf di kawasan masing-masing supaya dapat mengubah kehidupan daripada menjadi penerima zakat kepada pembayar,” katanya.

Berita Harian X