Sabtu, 23 November 2019 | 8:08pm
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk,tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini. Turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk, kiri). - Foto BERNAMA

Tak ada rombakan Kabinet dalam masa terdekat: PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan akan merombak barisan Kabinet sedia ada dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, semua kemungkinan boleh berlaku jika ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian.

Ditanya sama ada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut berada dalam senarai rombakan itu, beliau menegaskan belum membuat sebarang keputusan.

“Saya belum buat keputusan. (Tetapi) semua ada kemungkinan,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Ketika itu, Anwar mencelah dengan berkata; “Saya tidak minta (rombakan Kabinet).”

Perdana Menteri ditanya sama ada mesyuarat itu turut membincangkan soal senarai baharu barisan Kabinet selepas tersebar dakwaan akan berlaku rombakan berikutan beberapa menteri dikatakan gagal mencapai prestasi ditetapkan.

Katanya, beliau perlu menilai semua sentimen yang ada sebelum membuat sebarang keputusan besar termasuk rombakan Kabinet dan apa saja yang berkaitan dengan dasar kerajaan.

Mengulas mengenai reaksi pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas tersebar dakwaan isu rombakan Kabinet, Dr Mahathir secara berseloroh menegaskan mereka tidak membincangkan isu berkenaan.

“Mereka tak bantah. Mereka kata jangan tukar saya,” katanya sambil disambut gelak ketawa pemimpin PH yang ada.

Beliau kemudian menambah semua sentimen perlu dilihat.

“Ini kerajaan lima parti, bukan senang nak tukar kerajaan,” katanya.

Mengenai tindakan Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, semalam, sekali gus menguatkan desas-desus mengenai rombakan Kabinet, Dr Mahathir berkata; “Saya maklumkan kepada baginda mengenai perkembangan terkini. Berdasarkan situasi semasa, kita tak boleh buat sepenuhnya apa yang kita suka.”

Mengulas isu pertemuan sulit 22 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 18 November lalu, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut.

“Saya tak ada komen. Saya fikir, saya perlu jelaskan, tetapi tak perlu,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X