Isnin, 25 November 2019 | 12:49pm
TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Asyraf Hamzah
TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Asyraf Hamzah

1,070 sudah terima rumah generasi baharu FELDA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,070 daripada 4,794 unit projek Perumahan Generasi Kedua FELDA (PGBF) yang disiapkan menerusi peruntukan RM250 juta melalui pembentangan Kertas Putih FELDA, April lalu, sudah diserahkan kepada peserta setakat ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata sebanyak 628 unit lagi dalam proses penyerahan kunci kepada peserta program itu.

Katanya, kediaman berkenaan adalah rumah yang tahap kemajuannya 70 peratus siap yang diumumkan kerajaan terdahulu dalam Belanjawan 2013.

Beliau berkata, sebanyak 11 projek membabitkan 3,096 unit masih dalam proses pembinaan dengan 660 unit dijangka siap dan diserahkan bulan depan dan bakinya 2,436 unit akan disiapkan secara berperingkat tahun depan.

"Usaha kerajaan menyiapkan unit rumah generasi baharu FELDA yang terbengkalai ini dapat memberikan manfaat langsung kepada FELDA.

"Tumpuan kerajaan pada masa ini adalah untuk menyiapkan projek PGBF yang berada pada tahap kemajuan 70 peratus ke atas," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hassan Bahrom (PH-Tampin) yang ingin tahu sejauh mana kemajuan dilakukan kementerian dalam proses membaik pulih PGBF yang terbengkalai.

Dalam Belanjawan 2013, kerajaan ketika itu mengumumkan pembinaan 20,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun membabitkan peruntukan RM1.5 bilion, namun sehingga 2018, kerajaan terdahulu hanya menyalurkan RM200 juta kepada FELDA untuk melaksanakan projek itu.

Mohd Jidin, berkata FELDA juga sedang menjalankan Penilaian `Outcome' (keberhasilan) sebagai satu kaedah untuk mengukur prestasi dan pencapaian projek PGBF yang dilaksanakan.

Katanya, data daripada kajian itu dijangka akan dapat membantu FELDA menyediakan pelan tindakan yang lebih komprehensif dan mampan dalam menyelesaikan isu perumahan generasi baharu FELDA.

"Dengan peruntukan terhad, FELDA hanya mampu menyiapkan pembinaan 38 projek PGBF membabitkan 8,314 unit rumah saja," katanya.

Berita Harian X