Selasa, 26 November 2019 | 12:39pm
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub. - Foto Saifullizan Tamadi
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub. - Foto Saifullizan Tamadi

Pertukaran KSU prosedur biasa - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Pertukaran Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), adalah prosedur biasa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata perpindahan Mohd Sallehhuddin itu adalah pertukaran biasa antara kementerian dan jabatan kerajaan.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan, beliau tidak campur tangan dalam pertukaran itu yang berada di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ismail Bakar dan JPA sepenuhnya.

“Semalam saya menerima satu notis daripada Pejabat Perkhidmatan Awam, ada empat atau lima orang yang ditukarkan. Ada yang berpindah kementerian, ada yang saya dimaklumkan memang berlaku pertukaran.

“Saya baca melalui WhatsApp group (mengenai pertukaran Mohd Sallehhuddin), dan tiada penafian rasmi (oleh JPA), jadi saya anggap itu satu keputusan biasa di pejabat KSN atau Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Namun, saya belum dapat notis rasmi daripada mana-mana pihak. Terpulang kepada KSN, saya tidak mencampuri bidang kuasa yang ada pada KSN atau JPA,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal berita semalam, bahawa Mohd Sallehhuddin didakwa ditukarkan susulan kontroversi membabitkan tender padi bernilai RM1.4 bilion.

Pertukaran itu didakwa dibuat pada Jumaat lalu, sehari selepas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membangkitkan dakwaan mengenai penganugerahan kontrak itu kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara rundingan terus.

Susulan itu, wujud dakwaan bahawa Salahuddin disabotaj oleh Ketua Setiausaha (KSU) kementeriannya berhubung isu tender berkenaan.

Salahuddin menegaskan, tidak pernah mengarahkan atau menerima apa-apa arahan supaya siasatan dalam dijalankan, khususnya terhadap Mohd Sallehhuddin, selepas pendedahan Ka Siong di Dewan Rakyat.

“Tiada, saya tidak pernah mengarahkan atau menerima apa-apa arahan (menjalankan siasatan dalaman),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X