Rabu, 27 November 2019 | 5:29pm
Salahuddin (dua dari kanan) melawat persediaan akhir Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Angsana Mall Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Salahuddin (dua dari kanan) melawat persediaan akhir Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Angsana Mall Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pertukaran KSU penggiliran biasa - Salahuddin

JOHOR BAHRU: Pertukaran Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah proses penggiliran biasa jawatan pentadbiran tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata tiada pertikaikan sepatutnya timbul walaupun pembangkang terus mencipta isu terhadap pertukaran berkenaan.

“Jawatan KSU termasuk dalam jawatan yang digilirkan dalam perkhidmatan awam dan kementerian hanya menurut arahan.

“Isu Mohd Sallehhuddin ‘dikambing hitam’ dan perlu dikembalikan ke kementerian adalah cakap pembangkang. Itu kata dia (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

“Kementerian akur apa yang diarahkan atau ditetapkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (KPPA),” katanya dalam sidang media selepas melawat persediaan akhir Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Angsana Mall Johor Bahru di sini, hari ini.

Semalam, Ismail dilaporkan melahirkan rasa kesal berikutan pemindahan Mohd Sallehhuddin Hassan ke JPA.

Katanya, Mohd Sallehhuddin didakwa menjadi mangsa akibat dari kelemahan menteri dalam mengendalikan isu berkaitan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Semalam BH pula melaporkan Salahuddin berkata pertukaran Mohd Sallehhuddin ke JPA, adalah prosedur biasa pertukaran antara kementerian dan jabatan kerajaan.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), menegaskan beliau tidak campur tangan dalam pertukaran itu yang berada di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ismail Bakar dan JPA sepenuhnya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X