Khamis, 28 November 2019 | 8:26pm
AHMAD Safiuddin, 24, (kanan) dan isteri, Nurul Erwani, 24, (tengah) diberi penerangan mengenai cara fisioterapi oleh juruterapi fisioterapi, Norain Tambi, 28, manakala Ainul Mardhiah leka bermain ketika ditemui dirumahnya di Ayer Molek. NSTP/Nurul Fhatihah Zakinan
AHMAD Safiuddin, 24, (kanan) dan isteri, Nurul Erwani, 24, (tengah) diberi penerangan mengenai cara fisioterapi oleh juruterapi fisioterapi, Norain Tambi, 28, manakala Ainul Mardhiah leka bermain ketika ditemui dirumahnya di Ayer Molek. NSTP/Nurul Fhatihah Zakinan

Ainul Mardhiah semakin aktif, cepat bertindak balas

MELAKA: Bayi kesayangan rakyat Malaysia yang sebelum ini menderita kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kini semakin bergerak aktif malah dikatakan cepat bertindak balas terhadap rangsangan audio, visual, dan sentuhan.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata perubahan itu dilihat selepas Ainul Mardhiah menjalani sesi rawatan fisioterapi bersama dua juruterapi kanak-kanak dari sebuah pusat fisioterapi swasta dari Ayer Keroh, sejak kira-kira sebulan lalu di kediamannya di Ayer Molek, di sini.

"Nampak banyak perubahan pada diri Ainul, dia sudah mula bermain dan aktif, bersosial dan lebih kerap ketawa. Antibodi dia pun nampak semakin kuat.

"Kesan rawatan terapi itu juga dapat dilihat antaranya Ainul mampu memahami apabila disuruh melambai tangan, mencapai bola kapas berwarna-warni, menghisap ibu jari kaki, menggerakkan badan dan cuba untuk memusingkan badannya sendiri," katanya yang turut ditemani isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, di kediamannya di sini, hari ini.

Nurul Erwani berkata, selain menjalani rawatan itu, dia menyedari Ainul Mardhiah yang kini berusia 15 bulan itu lebih gemar menonton cerita kartun kanak-kanak 'Omar dan Hana' di televisyen berbanding lain, sehingga tertidur sendiri.

"Melihat perubahan positif Ainul dari hari ke hari mencuit hati. Kadangkala dia tersenyum dan bermain.

"Kami ada juga membawa Ainul bertemu saudara terdekat sekitar Melaka atau bersiar-siar berdekatan rumah, tetapi dalam tempoh singkat supaya dia bergaul dan merasa suasana serta cuaca luar," katanya yang dimaklumkan rawatan itu diteruskan sehingga Ainul Mardhiah benar-benar boleh memusingkan badannya sendiri.

Katanya, berat Ainul Mardhiah juga kini mencapai seberat 4.2 kilogram, dan bayinya itu dijangka menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) buat kali kedua dan proses itu dilakukan di Hospital Melaka, bulan depan.

Ainul Mardhiah sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London, pada 10 Jun lalu.

Bayi itu pernah menjalani MRI di hospital terbabit sebelum pembedahan berkenaan.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Berita Harian X