Sabtu, 30 November 2019 | 1:16pm
Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) , Mohd Azizee Hasan. - Foto ismaweb.net

iGuru sambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung kebenaran pembelajaran tulisan Jawi di Sekolah Cina dan Tamil seluruh negara.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata keputusan itu bertepatan dengan semangat Perlembagaan dalam Perkara 152 (1a) yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada maksud itu.

Selain itu, katanya, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan GERAKAN menunjukkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan tidak bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan.

“Hujah yang menyatakan bahawa tulisan Jawi satu bentuk Islamisasi adalah tertolak. Ia adalah satu seni tulisan sebagaimana mempelajari seni kaligrafi Cina dan tulisan Tamil.

“Usaha parti politik seperti GERAKAN untuk mencabar kedudukan tulisan Jawi sebagai satu daripada entiti bahasa Melayu adalah langkah mengubah identiti bahasa kebangsaan dan percubaan mencabar satu quo bahasa Melayu. Ia ibarat mencurah api ke dalam minyak yang panas.

“Justeru, iGuru berkeyakinan penuh bahawa tulisan Jawi bukan usaha indoktrinisasi agama tetapi satu usaha mengangkat kegemilangan seni penulisan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan identiti nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 28 November lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan GERAKAN yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amarjeet Serjit Singh yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada bahasa Melayu yang juga Bahasa Kebangsaan.

Beliau berkata, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dengan keputusan itu, Mohd Azizee turut mengingatkan semua pihak supaya akur dan tidak menimbulkan kebimbangan dan kerunsingan yang boleh menggugat keharmonian serta prejudis antara kaum.

Apabila sikap itu timbul, katanya, ia sekali gus mengundang fahaman rasisme yang boleh mengancam usaha memupuk integrasi nasional di negara ini.

Berita Harian X