Jumaat, 6 Disember 2019 | 7:38pm
Hakeem Mohammad mendapat markah 100 peratus untuk kertas Recording Financial Transactions (FA1).
Hakeem Mohammad mendapat markah 100 peratus untuk kertas Recording Financial Transactions (FA1).

Pelajar perakaunan UiTM peroleh skor nombor 1 di dunia

KUALA LUMPUR: Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan di dunia dalam peperiksaan program perakaunan profesion sesi Julai-Disember 2019.

Hakeem Mohammad Akmal, 18, mendapat markah 100 peratus untuk kertas ‘Recording Financial Transactions’ (FA1), sekali gus melayakkannya dianugerahkan gelaran tertinggi di Malaysia dan di dunia oleh badan profesional perakaunan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), yang berpangkalan di United Kingdom.

UiTM dalam satu kenyataannya hari ini berkata, Hakeem yang juga pelajar Fakulti Perakaunan sebelum ini melanjutkan pengajian dalam program profesional perakaunan Certified Accounting Technician (CAT) di UiTM Shah Alam, sejak Julai 2019.

Beliau sebelum itu menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, dengan keputusan 9A.

“Anak ketiga daripada lima beradik ini terus cemerlang dalam pengajiannya dengan mendapat skor tertinggi dalam peperiksaan FA1 meskipun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam mata pelajaran perakaunan sebelum ini.

“Meskipun Hakeem adalah seorang pelajar aliran sains di sekolah menengah sebelum ini, beliau memutuskan untuk menukar bidang kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dan lebih mencabar,” katanya.

UiTM amat berbangga dengan pencapaian Hakeem di peringkat antarabangsa ini dan kejayaan itu membuktikan kesungguhan serta sokongan padu daripada pihak universiti dan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Hakeem berkata, beliau bersyukur kerana dikelilingi oleh rakan dan pensyarah yang sangat membantu walaupun beliau selalu mengajukan banyak pertanyaan dalam kelasnya.

“Pensyarah yang mengajar subjek ini juga sangat membantu ketika dan selepas waktu kuliah. Saya yakin interaksi di antara pelajar dan pensyarah adalah sangat penting kerana ia akan menjadikan proses pembelajaran lebih berkesan.

“Saya juga sama seperti orang lain melakukan aktiviti bersama rakan seperti menonton filem dan bersukan tetapi sentiasa meletakkan batasan dan memantau jadual aktiviti dan menyeimbangkannya dengan pelajaran,” katanya.

Hakeem merancang untuk melanjutkan pengajiannya di ACCA selepas menamatkan program CAT dan meneruskan kerjaya dalam bidang percukaian memandangkan bidang itu dilihat mencabar dan mempunyai peluang pekerjaan yang luas di Malaysia.

Berita Harian X