Ahad, 8 Disember 2019 | 2:24pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Tindakan tegas terhadap pencetus provokasi

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang sengaja mahu menimbulkan kegusaran awam serta melakukan tindak-tanduk yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu penghinaan bendera dan lagu kebangsaan serta aktiviti untuk memperingati atau menghidupkan semula pergerakan komunis di negara ini yang menjadi viral, sedang disiasat.

Tegasnya, beliau memandang serius perkembangan tidak sihat itu yang disifatkan satu provokasi untuk mengeruhkan keadaan di dalam negara.

“Tindakan menghina lambang negara terutama Jalur Gemilang dan lagu Negaraku amat tidak bertanggungjawab dan tidak melambangkan semangat patriotisme.

“Pada masa sama, penganjuran sebarang aktiviti untuk memperingati atau menghidupkan semula pergerakan komunis di negara ini tidak sepatutnya berlaku dan wajar dihentikan.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah mula menjalankan siasatan terhadap insiden-insiden ini dan saya telah mengarahkan supaya perkembangan siasatan dimaklumkan kepada umum dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin menegaskan tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang didapati dengan sengaja cuba menimbulkan kegusaran awam.

“Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang tindak-tanduk yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian negara,” katanya.

Justeru, beliau meminta pihak mengelak daripada melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti rakyat.

“Merujuk kepada beberapa insiden yang ditularkan sejak kebelakangan ini, saya menggesa semua pihak supaya berhenti daripada membuat kenyataan atau melakukan perbuatan yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan menjalankan siasatan berhubung penganjuran Majlis Peringatan Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai anjuran Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 yang diadakan di Kajang, 1 Disember lalu.

Polis turut menerima berpuluh-puluh laporan polis berhubung majlis itu.

Selain itu, tular juga video berdurasi satu minit 23 saat yang menunjukkan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam Bahasa Mandarin. Ia didakwa dirakam pada 26 September 2018 di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X