Isnin, 9 Disember 2019 | 2:16pm

Amaran cuaca buruk di Pahang, Johor

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan notis Amaran Cuaca Buruk di beberapa daerah di Pahang dan Johor sehingga esok.

Daerah terbabit adalah Rompin, Pahang dan Mersing serta Kota Tinggi, Johor yang dijangka mencapai tahap hujan lebat berterusan.

Selain itu, notis Amaran Cuaca Waspada untuk tempoh sama turut dikeluarkan bagi Kuantan dan Pekan, Pahang serta Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, Johor.

Peringkat Waspada membabitkan hujan lebat berterusan yang dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi atau hujan berterusan sedang berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan.

MetMalaysia memaklumkan, angin kencang yang bertiup 40 hingga 50 kilometer/jam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak dalam tempoh berkenaan.

“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya.

http://www.met.gov.my/

Berita Harian X