Jumaat, 13 Disember 2019 | 8:03pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir melawat pengeluar produk tenusu terbesar di Asia Barat, Baladna Food Industries (Baladna) di Al Khor. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir melawat pengeluar produk tenusu terbesar di Asia Barat, Baladna Food Industries (Baladna) di Al Khor. - Foto BERNAMA

PM lawat ladang tenusu terbesar di Asia Barat

DOHA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat pengeluar produk tenusu terbesar di Asia Barat, Baladna Food Industries (Baladna) di Al Khor, di sini.

Baladna yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan FELCRA Bhd (FELCRA) di Kuala Lumpur pada Oktober lalu, bakal membangunkan ladang tenusu terbesar di Malaysia menjelang 2021.

Perdana Menteri melakukan lawatan selama dua jam di ladang tenusu itu dengan diiringi Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Baladna, Ramez Al Khayyat.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ladang berkenaan menempatkan 20,000 lembu tenusu dengan merekodkan kapasiti pengeluaran tahunan lebih 100 juta liter.

Ladang tenusu itu diwujudkan secara besar-besaran selepas sekatan ekonomi dikenakan terhadap Qatar oleh Arab Saudi dan beberapa negara lain pada 2017.

Sekatan ekonomi itu menyebabkan Qatar tidak lagi bergantung kepada negara lain terutama berhubung produk makanan, sekali gus mendorong mereka menghasilkan sendiri produk tenusu.

Kini Baladna menjadi produk susu terbesar di Asia Barat di kawasan seluas 2.4 juta meter persegi.

Laporan sebelum ini menyatakan FELCRA menyasarkan pengeluaran kira-kira 50 juta liter susu setahun, sekali gus mampu menampung keperluan tenusu domestik menjelang tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi Felcra, Datuk Nageeb Wahab, dilaporkan berkata, kerjasama itu bertujuan menggandakan pengeluaran susu segar Malaysia sejajar pelaksanaan Agenda Jaminan Makanan Negara.

Menerusi kerjasama itu, FELCRA menyediakan kawasan bersesuaian untuk penyediaan ladang, manakala Baladna menawarkan keperluan infrastruktur teknologi dan membekalkan lembu tenusu yang diimport.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X